HomeUtamaKerajaan Sabah sentiasa beri sokongan MUIS perkasa potensi wakaf

Kerajaan Sabah sentiasa beri sokongan MUIS perkasa potensi wakaf

Read Time:1 Minute, 44 Second

Kota Kinabalu : Kerajaan Sabah sentiasa memberikan sokongan kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) untuk terus memperkukuhkan pemberdayaan dan pemerkasaan potensi wakaf khususnya di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia termasuklah memberi penekanan terhadap kerjasama dan keterlibatan bersama pelbagai pihak pemain industri wakaf di Malaysia.

Katanya, ia samada daripada agensi-agensi kerajaan persekutuan mahupun negeri-negeri, selain entiti perniagaan korporat yang ingin bersama menyumbang kepada usaha ke arah menjadikan Sabah sebagai negeri mesra dan celik ibadah wakaf menjelang tahun 2030.

“Di kesempatan ini, saya ingin menzahirkan ucapan tahniah kepada pihak Univerisiti Malaysia Sabah (UMS) kerana telah menjadi institusi yang pertama mendapat lantikan sebagai Ejen Kutipan Wakaf Tunai MUIS.

“Semoga dengan lantikan ini, pihak UMS akan dapat melaksanakan pembangunan yang mapan di dalam memberikan khidmat pendidikan yang terbaik kepada masyarakat di Negeri Sabah sesuai dengan identiti UMS sebagai Institut Pendidikan Tinggi utama di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian merasmikan bulan wakaf peringkat negeri Sabah kali ketiga dan seminar wakaf pendidikan: ‘wakaf membina generasi berilmu’ anjuran bersama MUIS dan UMS.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Hajiji berkata, menerusi pembentangan Belanjawan 2023, Kerajaan terus komited untuk memperkasakan pengurusan wakaf melalui pengwujudan Wakaf Madani bernilai RM1 bilion.

Katanya, ia adalah melalui pembangunan aset terdiri daripada tanah, masjid, bangunan, kemudahan kesihatan serta pendidikan yang akan dioptimumkan oleh manfaat golongan fakir miskin, berpendapatan rendah dan golongan rentan lain.

“Saya juga mengucapkan setingi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua pihak khususnya MUIS di atas kejayaan penganjuran Seminar Wakaf Pendidikan ini sebagai salah satu pengisian di dalam sambutan Bulan Wakaf peringkat Negeri Sabah pada tahun ini.

“Selain itu, saya difahamkan juga bahawa hari ini pihak MUIS akan menyerahkan perjanjian perlantikan UMS sebagai Ejen Kutipan Wakaf Tunai MUIS,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berharap MUIS akan dapat mendekatkan diri bersama masyarakat di dalam usaha untuk menyebarkan kefahaman berkaitan ibadah wakaf.

“Justeru, besar harapan saya agar industri wakaf ini dapat terus diperkukuhkan mengikut acuan masa kini serta belandaskan hukum syarak agar kesannya boleh dinikmati oleh semua lapisan masyarakat,” katanya. – SABAH MEDIA.

RELATED ARTICLES
Utama

518 kes pokok tumbang berlaku di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular