HomeIsu tempatan9 pelajar antarabangsa jayakan ekspedisi ke Gunung Kinabalu

9 pelajar antarabangsa jayakan ekspedisi ke Gunung Kinabalu

Read Time:1 Minute, 29 Second

Kota Kinabalu : Sembilan pelajar antarabangsa Universiti Malaysia Sabah (UMS) dari pelbagai negara menyahut cabaran untuk mendaki Gunung Kinabalu menerusi program ‘Pengantarabangsaan Melalui Warisan 2024: Perjalanan Antarabangsa Ke Puncak’ baru-baru ini.

Sembilan pelajar antarabangsa tersebut merupakan pelajar dari pelbagai negara, antaranya dari Jepun, Timor Leste, Bangladesh, Yaman, Pakistan, China, Brunei Darussalam, Filipina dan Indonesia. 

 Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, program anjuran Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global (PPPG) bersempena dengan sambutan ulang tahun UMS ke-30 tahun ini adalah inisiatif dalam mempromosikan UMS khususnya, dan negeri Sabah kepada pelajar antarabangsa.

“Pendakian Gunung Kinabalu oleh pelajar-pelajar antarabangsa ini adalah bagi memperkenalkan UMS dan negeri Sabah di mata dunia, bahawa negeri ini memiliki banyak khazanah yang perlu diterokai bukan hanya dimanfaatkan untuk pengajaran dan pembelajaran tetapi perlu dialami dan dipelopori.

“Kita telah memilih sembilan orang pelajar antarabangsa disebabkan UMS merupakan universiti kesembilan daripada 20 universiti awam di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika  ditemui media selepas menyempurnakan acara pelepasan ekspedisi para pelajar di Foyer Bangunan Canselor, UMS. 

Dr Kasim berkata, misi pendakian ini menunjukkan bahawa kepimpinan UMS prihatin terhadap kebajikan dan keperluan pendedahan kepada pelajar antarabangsa supaya mereka juga diberi peluang dan kesempatan untuk menghayati keindahan alam semula jadi yang ada di Sabah.

Terdahulu, Pengarah PPPG, Prof. Madya Dr. Wardatul Akmam Din memaklumkan para peserta bersemangat dan telah membuat persiapan rapi dalam menjayakan ekspedisi tersebut. 

“Mereka menawarkan diri untuk menyertai tanpa sebarang paksaan kerana mendaki Gunung Kinabalu bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan ketahanan fizikal dan mental.

“Para peserta dipilih mengikut aspek fizikal dan mental, dan mereka telah berlatih beberapa minggu sebagai persediaan untuk ekspedisi ini,” katanya. 

Hadir sama pada acara pelepasan tersebut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof. – SABAH MEDIA / FOTO UMS

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Orang ramai dipelawa meriahkan Biz Market Madani 2024 esok

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular