HomeUtamaYayasan Petronas & Jabatan Perhutanan Sabah bekerjasama pulihkan Hutan Simpan Kungkular

Yayasan Petronas & Jabatan Perhutanan Sabah bekerjasama pulihkan Hutan Simpan Kungkular

Read Time:1 Minute, 23 Second

TENOM: Yayasan PETRONAS dan Jabatan Perhutanan Sabah telah melancarkan Program Restorasi Hutan Simpan Kungkular melibatkan kawasan hutan terosot seluas 185 hektar di daerah ini.

Program itu melibatkan penanaman pokok yang dilaksanakan dengan penyertaan komuniti tempatan dari Kampung Kungkular, Kampung Nanturaan, Kampung Lohot, dan Kampung Sosopon melalui perkongsian pengetahuan dan kemahiran, penyediaan tapak, tapak semaian, penanaman pokok, penyelenggaraan, dan perancangan kelestarian.

Timbalan Ketua Konservator Hutan, Jabatan Perhutanan Sabah, Indra Purwandita Herry Sunjoto melancarkan program itu pada Jumaat lalu (27 Sept), disaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri Kemabong Datuk Rubin Balang, Ahli Parlimen Tenom Riduan Rubin, dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS, Shariah Nelly Francis.

Perkongsian strategik berkenaan telah dimeterai pada Persidangan Antarabangsa Heart of Borneo 2023 di Kota Kinabalu.

Ia juga merupakan satu daripada inisiatif Yayasan PETRONAS untuk menanam satu juta pokok di seluruh Malaysia.

Shariah Nelly berkata program berkenaan merupakan inisiatif jangka panjang bertujuan membina daya tahan komuniti terhadap cabaran perubahan iklim dan pada masa sama memulihara alam sekitar melalui penyelesaian berasaskan alam semula jadi.

Seramai 948 penduduk daripada 202 isi rumah juga akan diperkasa dengan aktiviti perhutanan tani seperti pertanian bersepadu, dan dipertingkatkan pengetahuan dan kemahiran amalan pertanian baik, termasuk pentingnya melindungi sistem ekologi tempatan bagi keterjaminan bekalan makanan dan air.

Program itu dijalankan dengan kerjasama rakan kongsi termasuk Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, dan Jabatan Perikanan bagi memastikan bimbingan dan sokongan berterusan ke arah merealisasikan komitmen Yayasan PETRONAS terhadap kelestarian alam sekitar di bawah inisiatif Menyemai Masa Hadapan.

“Penglibatan komuniti dalam inisiatif berasaskan alam semula jadi membantu membina rasa tanggungjawab bersama dalam menjaga alam sekitar.

“Ini bukan sahaja menggalakkan kerjasama dalam usaha perlindungan, tetapi juga meningkatkan kesedaran tentang pentingnya memelihara ekosistem demi kebaikan bersama,” tambah Shariah.

RELATED ARTICLES
Utama

KKM tubuh pasukan petugas khas bebas, siasat kematian Pakar Perubatan Patologi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular