Kuala Lumpur: Kerajaan Sabah dijangka akan menubuhkan Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negeri itu menjelang akhir tahun ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, penubuhan majlis itu adalah selaras dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Semalam kita mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud dan Ketua Pengarah di kementerian berkenaan untuk berbincang berhubung dengan isu-isu pendidikan tinggi di Sabah.
“Antaranya perbincangan kita berhubung dengan keperluan Kecerdasan Buatan (AI) dalam pendidikan dan kebolehpasaran pendidikan atau pembelajaran selain berhubung dengan perlunya STEM dan perlunya kita memperkasa TVET.
“Saya juga ingin memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri InsyaAllah akan menubuhkan Majlis TVET Negeri Sabah seperti mana yang disarankan oleh Perdana Menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri dan Menteri yang berkaitan dengan pendidikan dan pendidikan tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat Antarabangsa (MTHQA) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini semalam.
Arifin berkata, bidang pendidikan khususnya modal insan di Sabah merupakan sebagai salah satu teras penting dalam hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Kita juga melihat betapa perlunya pendidikan menjadi sebagai salah satu teras seperti mana yang disebutkan oleh Ketua Menteri kita bahawa modal insan dan kesejahteraan rakyat menjadi salah satu agenda utama dalam hala tuju SMJ.
“Beliau bukan hanya menyatakan tentang keperluan itu tapi menyediakan dana yang besar untuk pemerkasaan pendidikan dan keilmuan di Sabah. Sekarang sudah RM500 juta disediakan oleh beliau sebagai dana untuk memperkasa bidang pendidikan.
“Ini termasuk biasiswa Kerajaan Negeri Sabah yang sudah dinaikkan oleh beliau daripada RM50 juta menjadi RM113 juta bagi memudahkan anak-anak kita melanjutkan pengajian ke IPTA dan IPTS di dalam dan di luar negara,” katanya.
Terdahulu, dalam pertemuan hampir sejam itu, Arifin turut menyuarakan masalah yang dihadapi oleh pelajar berhubung yuran yang perlu dibayar sebelum memasuki universiti.
Katanya, Timbalan Menteri telah menjelaskan bahawa Kementerianya telah meminta semua IPTA menerima pelajar yang layak dan menangguhkan pembayaran yuran sehingga pelajar mendapat tajaan biasiswa, dermasiswa, one off yuran (BUDI) atau pinjaman dari penaja masing-masing. – SABAH MEDIA