Kota Kinabalu : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut Datuk James Ratib hari ini menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM3,000 kepada Crisnanalina Jumis,20, yang akan melanjutkan pengajian ke Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Bantuan itu disampaikan melalui
Setiausaha Perhubungan Awam (SUPA) beliau, Justinus Jalang di kediaman Crisnanalina Kampung Dalamas, Paitan pagi tadi.
James yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat berkata, bantuan yang disalurkan adalah bagi membantu meringankan beban kewangan yang dihadapai keluarga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pitas itu.
“Selaku pemimpin di Sugut, saya sentiasa membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira fahaman politik. Apa yang penting ialah, maklumkan kepada saya.
“Saya juga tiada halangan untuk membantu kepada mereka yang memerlukan bantuan. Jika tiada yang maklumkan atau mungkin disebabkan perbezaan fahaman politik, macam mana saya tahu,” katanya.
Difahamkan keluarga Crisnanalina tidak memaklumkan kepada pejabat ADUN atau Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sugut atau wakil rakyat kawasan berhubung masalah yang dihadapi.
James berkata, perbezaan ideologi politik atau kekangan lain mungkin membuatkan keluarga berkenaan segan untuk memohon bantuan.
“Tetapi wakil rakyat Sugut tidak dimaklumkan sendiri oleh keluarga ini berkenaan masalah perbelanjaan dihadapi mereka untuk anak mereka yang sambung belajar.
“Sebagai wakil rakyat, saya sentiasa terbuka untuk membantu rakyat yang memerlukan termasuklah masalah bayaran hospital (pembiayaan bayaran bill pesakit dalam wad hospital) kepada rakyat, apatahlagi pendidikan anak-anak di kawasan ini.
“Itu sebabnya saya telah melancarkan Tabung Pendidikan Datuk James Ratib (TDPJR), baru-baru ini untuk anak-anak Sugut bermula 2025, kerana saya mahu tiada anak-anak Sugut yang tercicir dalam pelajaran terutama melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti tidak kira IPTA atau IPTS,” katanya.
James berkata, beliau sangat prihatin dengan pendidikan anak-anak Sugut, dan adalah mustahil beliau tidak membantu seadanya sekiranya mereka (ibu bapa pelajar) menghubunginya melalui telefon, surat permohonan atau datang berjumpa sendiri dengan beliau atau sekurang-kurangnya pegawai-pegawainya di kawasan Sugut.
“InsyaAllah dengan adanya Tabung Pendidikan DJR bermula tahun depan, 2025, tiada lagi pelajar-pelajar yang melanjutkan pelajaran ke peringkat kolej atau universiti dari kawasan Sugut, akan tercicir atas sebab kewangan.
“Kerana tabung ini akan membiayai perbelanjaan awal terutama sekali yuran pendaftaran dan bayaran-bayaran awal. Tabung ini sekurang-kurangnya meringankan beban keluarga.
“Saya hanya tahu perkara ini apabila sebuah akhbar tempatan kemarin melaporkan masalah isu pelajar dari kawasan saya yang mendaftar di UMS seperti yang tular di media sosial,” katanya.
Sementata itu, Crisnanalina menzahirkan ucapan terima kasih dan terharunya kepada James Ratib yang begitu prihatin dengan menyumbangkan RM3,000 kepadanya untuk meringankan kos perbelanjaannya sepanjang belajar di UMS.
Terdahulu tular kisah Crisnanalina yang mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke UMS tetapi menghadapi kesukaran untuk mendaftar masuk ekoran kekangan kewangan. – SABAH MEDIA