HomeUtamaOp JRS Tawau: Enam individu ditahan, wang tunai RM1.4 juta dirampas

Op JRS Tawau: Enam individu ditahan, wang tunai RM1.4 juta dirampas

Read Time:1 Minute, 30 Second

TAWAU: Seramai enam individu berumur antara 40 hingga 47 tahun telah ditahan bersama wang tunai berjumlah RM1,412,932.00 turut dirampas semasa serbuan dalam Operasi Jenayah Rentas Sempadan (JRS) Daerah Tawau.

Op JRS itu dikoordinasikan oleh Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) bersama sama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman.

Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Datuk Victor B Sanjos berkata kesemua individu terbabit ditahan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk siasatan lanjut.

Selain itu, katanya, beberapa peralatan seperti telefon dan dokumen serta fail-fail berkaitan turut dirampas semasa operasi dijalankan.

“Selaras dengan kejayaan Op JRS ESSCOM yang dilaksanakan pada 11 Oktober 2024 dan menyasarkan sembilan buah premis di Daerah Tawau ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan dengan itu, ESSCOM ingin menzahirkan penghargaan kepada petugas seramai 84 orang terdiri daripada pegawai dan anggota dari LHDN, PDRM Bukit Aman serta ESSCOM.

Menurut Victor, objektif utama operasi adalah demi menjamin keselamatan dan memelihara ketenteraman awam di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) selain bertujuan membanteras penyeludupan barang tidak bercukai secara menyeluruh sehingga ke akar umbi.

“ESSCOM komited dalam membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan terutamanya di ESS Zone bagi menyokong pembangunan negara dan pengukuhan sosioekonomi masyarakat berlandaskan nilai ihsan, kesejahteraan, keyakinan dan kemampanan demi memastikan hasrat Agenda Malaysia MADANI dicapai.

“ESSCOM akan terus memperhebatkan operasi bersepadu seumpama ini ke daerah-daerah ESS Zone bagi mengekang mana-mana elemen jenayah rentas sempadan yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan awam di pantai Timur Sabah,” tegasnya.

Beliau turut menyeru kepada masyarakat untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESS Zone
ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui aplikasi Whatsapp di talian 011-63311072.

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan Sabah sokong hasrat MACMA bina masjid bercirikan seni bina cina

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular