HomeUtamaKerajaan Sabah bertekad jadi pelopor, peneraju pengurusan GIA di Malaysia

Kerajaan Sabah bertekad jadi pelopor, peneraju pengurusan GIA di Malaysia

Read Time:3 Minute, 15 Second

KOTA KINABALU: Aspirasi Governans, Integriti dan Antirasuah (GIA) yang telah perkenalkan tahun lalu merupakan komitmen, iltizam dan tekad kerajaan negeri Sabah untuk menjadi pelopor, peneraju dan penanda aras dalam pengurusan GIA di Malaysia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bergambar bersama para peserta Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) Tahun 2024 selepas merasmikan program itu di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu pada Isnin.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri melalui Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah (BIGoNS) di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri telah mengemudi usaha-usaha strategik bagi mencapai hala tuju yang telah ditetapkan dalam merealisasikam GIA.

Katanya, antara usaha strategik itu ialah memastikan semua 132 agensi Kerajaan Negeri Sabah merangkumi kementerian, jabatan, pejabat daerah, daerah kecil, Badan Berkanun Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan siap membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) sepenuhnya.

“Pemantauan dan pelaporan status pelaksanaan inisiatif-inisiatif OACP diselia secara maya melalui Sistem i-Dashboard atau Sistem i-DO; siap menyediakan Arahan Ketua Menteri No. 1 Tahun 2023 mengenai Penubuhan Unit Integriti dan Governans di Syarikat Berkepentingan Kerajaan.

“Siap menyediakan dua Pekeliling Integriti Perkhidmatan Negeri Sabah (PIPANS) mengenai Penubuhan Unit Integriti di Perkhidmatan Awam Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan; Menaik taraf sistem aduan daripada Sistem i-Adu 1.0 kepada Sistem i-Adu 2.0 yang lebih mesra pengguna dan komprehensif dalam menyelesaikan aduan kompleks.

“Seramai 44 pegawai Kerajaan Negeri Sabah termasuk pegawai dari Syarikat Berkepentingan Kerajaan telah ditauliahkan sebagai Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) oleh Lembaga Pengiktirafan Pegawai Integriti Bertauliah (LPPIB) yang akan menjadi penggerak utama usahausaha GIA di negeri Sabah.

“Melaksanakan Program Pengukuhan CeIO Kerajaan Negeri Sabah sebagai usaha mengukuhkan kompetensi CeIO dalam menjalankan tanggungjawab,” katanya.

Hajiji berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Isnin.

Hajiji berkata, Sabah juga menjadi kerajaan negeri pertama yang mewajibkan Lagu Integriti Perkhidmatan Awam Negeri dimainkan dalam semua majlis rasmi Kerajaan, dalam mengukuhkan penghayatan nilai integriti dalam kalangan penjawat awam.

“Strategik lain ialah berjaya melaksanakan 10 Minggu Integriti Kementerian dan Jabatan Ketua Menteri Tahun 2024 melibatkan 10 kementerian dan Jabatan Ketua Menteri, menyasarkan semua penjawat awam negeri, Badan Berkanun Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan dan Syarikat Berkepentingan Kerajaan.

“Inisiatif seumpama ini merupakan satu satunya dilaksanakan di Malaysia,” katanya.

Selain itu, Hajiji berkata, setiap agensi Kerajaan Negeri diwajibkan mewujudkan sudut digital GIA di semua laman web rasmi agensi Kerajaan Negeri.

“Disamping melaksanakan pemeriksaan dan perundingan ke atas 50 agensi Kerajaan Negeri setakat bulan September 2024 sebagai langkah memantapkan tadbir urus di agensi yang diperiksa; dan telah melaksanakan Program Kesedaran Tatatertib di 18 agensi Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh Sabah sejak tahun 2023,” katanya.

Tambah beliau, usaha pemantapan pengurusan GIA bukan sahaja dilaksanakan oleh BIGoNS, malah disokong oleh inisiatif-inisiatif yang dijayakan oleh agensi-agensi yang lain.

“Antaranya ialah Bahagian Audit Dalam, Kementerian Kewangan Negeri Sabah telah dinaik taraf kepada Jabatan Audit Dalam, Jabatan Ketua Menteri mulai Januari tahun ini bagi memperkasa sistem semak dan imbang dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah.

“Kementerian Kewangan Negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Perunding dan Pengawasan (JPP-KKNS) yang bertanggungjawab memantau prestasi Syarikat Berkepentingan Kerajaan berprestasi rendah serta mencadangkan langkah penyelesaian bagi memastikan pengurusan yang cekap.

“Kementerian Kewangan Negeri turut menambah baik Sistem State Company Information System 5.0 (SCIS 5.0) untuk memantau prestasi dan laporan kewangan Syarikat Berkepentingan Kerajaan secara real-time bagi meningkatkan keberkesanan pemantauan.

“Manakala Institut Latihan Teknik dan perdagangan (ILTP), Jabatan Pembangunan Sumber Manusia melakar sejarah sebagai institusi pertama di Malaysia berasaskan TVET yang telah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Modul Integriti dan Antirasuah sebagai subjek wajib kepada semua pelajar ILTP,” jelasnya.

Menurut Hajiji, Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Sabah melaksanakan program di bawah Kluster Tatakelola dan Antirasuah bertemakan “Pencegahan Rasuah Tanggungjawab Bersama”. Siri pertama telah berjaya dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri Sabah (LHDN).

“Komitmen pengurusan tertinggi merupakan kunci utama kepada kejayaan pengurusan GIA di Sabah,” tegas Hajiji.

RELATED ARTICLES
Utama

SPRM geledah tiga “safe house” dipercayai lokasi penyimpanan hasil wang suapan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular