HomeIsu tempatanFestival Mayapada angkat mesej keamanan sejagat

Festival Mayapada angkat mesej keamanan sejagat

Read Time:1 Minute, 49 Second

Kota Kinabalu:  Festival Mayapada: Keamanan Untuk Bumi yang dianjurkan di Galeri Azman Hashim (GAH) Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mengangkat mesej keamanan sejagat yang perlu ditekankan khususnya kepada generasi muda.

Ketua Pegawai Eksekutif Nusa Centre, Said Zakir Said Osman berkata, festival tersebut yang mengangkat muzik dan lagu etnik serta lagu berunsur alam daripada pelbagai etnik diadakan sebagai harapan kepada kesejahteraan bumi dengan harapan menghindari pencemaran alam, peperangan dan segala kerosakan terhadap alam semula jadi dan kemanusiaan.

“Festival ini merupakan kempen untuk masyarakat menghargai alam semula jadi dan menanam sikap menghormati dan mencintai alam. 

“Dalam suasana hari ini yang menyaksikan alam dicemari dan dirosakkan oleh tangan-tangan manusia melalui pencemaran yang dilakukan, merosakkan hutan rimba dan yang paling malang adalah peperangan.

“Maka, Festival Mayapada adalah satu usaha untuk menyedarkan manusia tentang kemanusiaan yang sentiasa mempunyai cinta baik sesama manusia mahupun terhadap alam semula jadi,” katanya. 

Beliau menjelaskan, festival tersebut menggariskan beberapa objektif, antaranya untuk menyampaikan mesej terhadap kesejahteraan alam dan kemanusiaan sejagat, memupuk semangat perpaduan pelbagai bangsa melalui persembahan kesenian, serta menyediakan pengisian budaya untuk rakyat Malaysia dan pelancong luar negara. 

“Adalah menjadi harapan bahawa apa yang dimulakan hari ini akan menjadi satu titik terhadap usaha membawa kesedaran manusia terhadap keamanan dan kesejahteraan yang akan terus dipertahankan pada masa akan datang khususnya pada generasi ini dan akan datang,” katanya. 

Dalam pada itu, Pengarah GAH UMS, Prof. Madya Dr. Mohamad Puad Bebit berkata, GAH yang mula beroperasi sejak November 2021 merupakan bangunan ikonik tumpuan pelancong yang menyediakan tidak hanya pameran seni visual, tetapi juga menjadi pusat sehenti kepada pelbagai acara dan persembahan. 

“Konsep galeri tidak hanya menjadi lokasi pameran seni visual tetapi turut membuka ruang untuk seni persembahan seperti seminar, bengkel, pameran kraf tempatan dan lain-lain.

“Justeru, GAH UMS amat berbesar hati kerana terpilih untuk menjadi penganjur bagi Festival Mayapada, dan diharapkan kerjasama ini akan berterusan untuk manfaat kepada universiti secara khususnya,” ujar beliau. 

Festival Mayapada yang mendapat geran sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dijayakan dengan persembahan nyanyian, bacaan puisi dan persembahan alat muzik tradisional yang dijayakan pelajar dan pensyarah Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) UMS dan Persatuan Alunan Seni Budaya Sabah.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Presiden Persatuan Alumni KTYS terima Darjah Kebesaran P.G.D.K

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular