HomeEkonomiPerkhidmatan tanpa tunai selari dengan perkembangan teknologi, ekonomi digital

Perkhidmatan tanpa tunai selari dengan perkembangan teknologi, ekonomi digital

Read Time:1 Minute, 44 Second

Kota Kinabalu: Pelancaran Program BSN Cashless Society di Pasar Malam Api-Api di sini adalah satu langkah ke hadapan dalam memastikan masyarakat terus bergerak selari dengan perkembangan teknologi dan ekonomi digital.

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah berkata, perkembangan teknologi pada masa kini menyedarkan semua pihak bahawa pentingnya bagi menyesuaikan diri dengan perubahan dalam cara menjalankan urusan harian. 

“Transformasi digital yang sedang berlaku di seluruh dunia bukan sahaja mempengaruhi kehidupan di bandar-bandar besar tetapi juga memberi kesan kepada komuniti setempat. 

“Program Komuniti Tanpa Tunai yang dianjurkan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) ini adalah bukti jelas bahawa perubahan ini sedang berlaku di Kota Kinabalu dan kita semua, termasuk para peniaga kecil, mesti bersedia untuk beralih kepada kaedah pembayaran yang lebih moden dan efisien,” katanya ketika merasmikan program berkenaan di sini.

Sabin berkata, sistem pembayaran tanpa tunai bukan sahaja memberikan kemudahan kepada pengguna, tetapi juga melindungi peniaga daripada risiko kecurian dan kerugian. 

Katanya, ia juga menyediakan rekod transaksi yang lebih tersusun, memudahkan peniaga menguruskan kewangan dan perniagaan mereka. 

“Keuntungan ini penting terutama sekali bagi peniaga kecil di Pasar Malam Api-Api, yang kini mempunyai peluang untuk mengembangkan perniagaan mereka melalui penggunaan teknologi digital.

“Saya juga ingin menekankan bahawa kerjasama erat antara BSN, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), dan Paynet adalah satu contoh kejayaan perkongsian strategik,” katanya.

Tambahnya, perkongsian itu bukan sahaja menyokong transformasi digital tetapi juga menguatkan lagi hasrat semua untuk melihat ekonomi digital yang inklusif, di mana setiap individu dan peniaga di Kota Kinabalu mendapat manfaat daripadanya.

Sementara itu, Pengerusi BSN, Datuk Seri Dr. Awang Adek berkata, program ini selaras dengan visi BSN untuk memperkukuhkan keterangkuman kewangan di Malaysia. 

“Kami komited untuk memastikan perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) mendapat manfaat sepenuhnya daripada teknologi digital ini dan menyokong pembangunan ekonomi tempatan.

“Program ini menawarkan kemudahan pembayaran digital seperti QR Pay dan Soundbox, direka untuk memudahkan urus niaga yang selamat, cepat, dan efisien.

“Lebih daripada 350 peniaga di pasar malam ini akan mendapat manfaat daripada teknologi pembayaran digital, seterusnya menarik lebih ramai pelanggan dan meningkatkan hasil perniagaan,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Penggunaan teknologi terkini pemangkin kelestarian hutan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular