HomeIsu tempatan551 peserta PKAN akan diraikan esok

551 peserta PKAN akan diraikan esok

Read Time:1 Minute, 38 Second

Kota Kinabalu : Seramai 551 peserta Program Khas Anak Negeri (PKAN) Sabah akan diraikan dalam satu Majlis Apresiasi PKAN esok.

Majlis yang akan berlangsung di Pusat Kraftangan Sabah (PKS), Keningau itu dijangka akan dirasmikan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey G. Kitingan.

Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) dalam satu kenyataan memaklumkan, semua peserta dari pelbagai daerah itu telah menamatkan program latihan selama lapan bulan di bawah inisiatif PKAN.

Menurut KYS, sebahagian peserta telah mengasah kemahiran kraf tangan di PKS manakala yang lain telah menjalani latihan di Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan University College Sabah Foundation (UCSF).

“Program ini menawarkan pendekatan komprehensif yang merangkumi latihan kemahiran dan pembangunan keusahawanan, membekalkan peserta dengan pengetahuan dalam bidang kraf serta persediaan yang diperlukan untuk berjaya dalam pasaran yang kompetitif,” menurut kenyataan itu di sini.

Dalam pada itu, Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar berkata,  individu berbakat, yang kebanyakannya daripada golongan berpendapatan B40, telah memperoleh kemahiran dan pengetahuan yang berharga.

Katanya, para peserta bukan sahaja memelihara tetapi juga memperkayakan khazanah budaya Sabah. 

“Dengan asas yang kukuh ini, mereka bersedia untuk berkembang maju dalam pasaran kraf yang kompetitif, sekali gus membuka peluang ekonomi yang signifikan untuk diri mereka dan komuniti,” katanya.

Inisiatif PKAN merupakan pelaburan strategik untuk masa depan Sabah. la memberi tumpuan kepada peningkatan keupayaan dan pendapatan, terutamanya golongan B40, dengan melengkapkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan untuk menyertai ekonomi gig.

Pendekatan ini bukan sahaja membantu memupuk generasi baharu usahawan dan artisan, tetapi juga berupaya mencergaskan ekonomi tempatan, sekali gus menawarkan mereka laluan untuk keluar daripada kategori B40.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk meraikan kekayaan warisan budaya Sabah, Program Craft Fiesta PKS juga akan diadakan dari 24 hingga 27 Oktober 2024 di lokasi yang sama. 

Acara ini akan menampilkan pelbagai aktiviti menarik, termasuk pertunjukan fesyen yang mempamerkan bakat tempatan, bengkel interaktif, dan pelbagai aktiviti keluarga yang menyeronokkan. 

Semua aktiviti ini direka khas untuk melibatkan komuniti secara aktif dan memupuk semangat kebersamaan. – SABAH MEDIA 

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Maritim Malaysia tahan bot pukat tunda, rampas 700kg hasil laut

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular