HomeUtamaKPM sewa 16 kabin tempatkan 256 murid tingkatan 6 SMK Tamparuli

KPM sewa 16 kabin tempatkan 256 murid tingkatan 6 SMK Tamparuli

Read Time:1 Minute, 56 Second

Kuala Lumpur : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengenalpasti dua langkah jangka pendek untuk menangani isu kerosakan beberapa bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tamparuli yang diisytiharkan tidak selamat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, dua langkah itu merangkumi penyewaan kabin dan penempatan sementara murid Tingkatan Enam ke bangunan yang lain.

“Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah telah mengemukakan permohonan sewaan 16 kabin untuk murid di SMK Tamparuli kepada pihak KPM dan permohonan sewaan tersebut akan diangkat untuk kelulusan Kementerian Kewangan selaras dengan Pekeliling Perbendaharaan PB3.1.

“Selain itu KPM juga telah mengenalpasti Pusat Kegiatan Guru (PKG), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tuaran untuk dijadikan penempatan sementara kepada 256 murid tingkatan enam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mejawab soalan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) pada Sesi Kamar Khas Persidangan Parlimen Dewan Rakyat di sini, semalam.

Dalam soalannya Madius meminta penjelasan status bangunan SMK Tamparuli masih dibenarkan untuk beroperasi walaupun telah diisytiharkan tidak selamat. 

Katanya, laporan pemeriksaan pihak JKR Sabah pada Julai lalu mendapati bahawa Bangunan Blok B, Blok C, Asrama Puteri, Asrama Putera, Blok Pra-U dan Blok Bengkel RBT mengalami kerosakan yang serius dan tidak selamat untuk diduduki. 

“Laporan ini dibuktikan lagi apabila sekolah ini mengalami kerosakan besar ketika ribut angin kencang pada 18 September lalu yang menyaksikan sebahagian daripada bumbung sekolah ini musnah diterbangkan angin,” ujar Madius.

Menurut Kah Woh, KPM telah menyalurkan peruntukan bencana berjumlah RM190,000 kepada JPN Sabah pada 25 September 2024 bagi menangani kerosakan bumbung SMK Tamparuli.

“Buat masa ini, kerja pembaikan sedang giat dilaksanakan dan dijangka selesai pada tahun semasa.

“Untuk makluman, dalam Rolling Plan 4 Tahun 2024 Rancangan Malaysia ke -12 (RMKe-12), KPM projek Pembinaan Blok Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) telah diluluskan merangkumi lima bilik darjah dan dua bengkel kemahiran serta kemudahan-kemudahan lain mengikut piawai di SMK Tamparuli.

“Kerja awalan projek iaitu kerja ukur dan kerja siasatan tanah (SI) telah selesai dan buat masa kini JKR Sabah sedang menyediakan rekabentuk terperinci untuk pembinaan,” jelas Ahli Parlimen Taiping itu lagi.

Katanya, bagi langkah jangka masa panjang pula, KPM melalui JPN Sabah merancang mengemukakan permohonan pembinaan bangunan gantian SMK Tamparuli dalam Rolling Plan 1 Tahun 2026 RMKe-13.

“Kelulusan dan pelaksanaan projek ini adalah tertakluk kepada agensi pusat dan keutamaan serta kedudukan kewangan semasa kerajaan,” tambah Kah Woh. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

SESB kini dikenali sebagai Sabah Electricity

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular