Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu: Tanah seluas 12 ekar berhampiran kawasan Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini telah diwartakan sebagai kawasan perkampungan tetap bagi menempatkan 212 penduduk Kampung Teluk Layang.
Penduduk kampung terlibat kini berada dikawasan dikategorikan sebagai setinggan berhampiran bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan telah diarah berpindah oleh pihak berkuasa.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Karamubunai, Nerudin Ludah berkata, kawasan baharu yang telah diwartakan itu akan dikenali sebagai Kampung Teluk Layang Baru.
“Penduduk kampung juga sudah bersetuju dan mereka akan berpindah secara rela hati ke kawasan baharu itu nanti.
“Sebelum ini pihak berkuasa telah memberikan penduduk kampung notis untuk berpindah dan setelah perbincangan dilakukan oleh pihak berkenaan, tempoh pemindahan itu dilanjutkan selama enam bulan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Karambunai, Datuk Arshad Idris.
Nerudin berkata, pihaknya turut menangkis sebarang tohmahan fitnah yang dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab sebelum ini.
“Kerajaan negeri dibawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sentiasa menitikberatkan kebajikan rakyat Sabah dan tidak akan berlaku tidak adil kepada rakyat negeri ini.
“Tapak penduduk yang tinggal sekarang tidak pernah diwartakan sebagai perkampungan, permohonan pun tidak pernah dibuat oleh pemimpin sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Nerudin berkata, pihak berwajib kini sedang membuat kajian dan akan membuat persempadanan yang dijangka bermula pada bulan November ini.
Katanya, hanya penduduk warganegara Malaysia dan mempunyai kad pengenalan sahaja dibenarkan untuk tinggal di kawasan baharu itu.
“Mereka yang didapati tidak mempunyai kad pengenalan, perkara ini akan diserahkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk tindakan susulan.
“Bancian yang dilakukan menunjukkan hanya 155 penduduk sahaja yang mempunyai kad pengenalan, 42 penduduk hanya mempunyai sijil lahir dan bakinya tidak mempunyai kad pengenalan negara ini,” katanya.
Katanya, kawasan baharu yang terletak di belakang Universiti Malaysia Sabah (UMS) mempunyai akses kepada jalan raya, bekalan air dan elektrik.
Dalam pada itu, Arshad berkata, pihaknya bersyukur kerana isu itu berjaya diselesaikan kerajaan negeri.
“Saya hairan mengapa pemimpin di sini sebelum ini tidak tampil untuk memperjuangkan nasib penduduk kampung ini.
“Sebagai pemimpin di Karambunai, kami berjaya menyelesaikan isu ini. Kawasan baharu itu sesuai dengan aktiviti harian penduduk iaitu berdekatan dengan sungai yang menghubungkan pesisir laut,” katanya.
Menurutnya, pihaknya juga akan memantau perkembangan kampung berkenaan khususnya dari segi jalan perhubungan, bekalan elektrik dan air. – SABAH MEDIA / FOTO NORMIMIE DIUN