Kota Kinabalu : Taman Pulau Sipadan (TPS) berjaya mengutip hasil lebih RM16 juta menerusi pelbagai aktiviti koservasi dan pendidikan yang dilaksanakan sejak diwartakan pada 5 November 2009.
Pengarah Taman-Taman Sabah (TTS) Dr Maklarin Lakim berkata, kedatangan pelancong bermula tahun lalu turut merekodkan seramai 40,133 orang termasuk penyelam.
Katanya, kutipan Fi konservasi TPS pada 2022 turut meningkat iaitu lebih RM3 juta berbanding RM828,380 pada 2021.
“Peningkatan pendapatan ini adalah didorang oleh tadbir urus dan tatakelola amalan yang cekap seperti yang terkandung dalam Pelan Strategik Taman-Taman Sabah (2015-2025) yang menetapkan pengawalan hanya sejumlah 37 syarikat beroperasi di Sipadan dengan kuota sebanyak 254 penyelam sehari.
“Bagi memastikan kes kemalangan jiwa dapat ditangani dengan berkesan, TPS menempatkan seramai enam orang ‘Dive Marshal’ yang senantiasa bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan kes kecemasan.
“Dalam tempoh setahun ini, tiada rekod kemalangan jiwa dilaporkan. Hanya kes-kes ringan seperti sesak nafas, digigit ikan, disengat ubur-ubur beracun, terkena batu karang & jatuh dari bot,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Pewartaan Taman Pulau Sipadan Ke-15 (2009-2024) di sini semalam.
Maklarin berkata, TTS melalui TPS setiap tahun mendepani arus perubahan iklim global yang tidak menentu dan menuntut TPS agar berusaha memastikan kawalan pembangunan mengekalkan keseimbangan ekosistem di TPS.
Katanya, peruntukan sebanyak RM7 juta dari Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) telah disalurkan untuk tujuan pembangunan yang berkelas dunia.
“Sokongan ini menjadikan harapan agar Taman-Taman Sabah terus cemerlang dalam melindungi dan memulihara khazanah semulajadi Taman Pulau Sipadan untuk 1,000 tahun lagi,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH PARK