Kota Kinabalu : Institut Kemajuan Desa (INFRA) giat menambahbaik pendekatan latihan yang dianjurkan bagi memenuhi pelbagai keperluan berbeza khususnya kepada golongan wanita di luar bandar.
Timbalan Pengarah (Latihan) INFRA, Annie Liaw berkata, Pusat Kecemerlangan Luar Bandar (INFRA CORE) akan memperkasa institusi dan masyarakat luar bandar melalui penyediaan latihan berkualiti, penyelidikan berwibawa, penulisan berkesan, penerbitan informatif, dan inovasi yang mampan serta berdaya saing.
“INFRA sedar bahawa proses pembangunan modal insan itu perlu bersifat dinamik, tidak statik, sentiasa berubah mengikut keadaan atau keperluan selain adaptif dan berkembang.
“Dalam hal ini, INFRA mengambil langkah proaktif dengan kerjasama dan bantuan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) melaksanakan Kajian Pemerkasaan Latihan dan Kemahiran Wanita Luar Bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Penutup Seminar Kepimpinan Wanita Luar Bandar Negeri Sabah 2024, di sini semalam.
Annie berkata, dapatan dari kajian membantu INFRA menambahbaik pelaksanaan program-program latihan sedia ada seterusnya meneroka tema dan bidang fokus latihan baharu diperlukan oleh kategori wanita yang berbeza-beza di luar bandar.
Katanya, ini termasuklah pemimpin, usahawan, wanita luar bandar yang bekerjaya dan suri rumah bagi mengelakkan program bersifat ‘one size fits all’ iaitu program yang sama atau seragam bagi pelbagai individu.
“Justeru, program latihan perlu disesuaikan dengan keperluan dan kekangan yang dihadapi oleh kategori wanita luar bandar yang berkaitan,” katanya
Seminar tersebut mula diperkenalkan pada tahun 2019 dan memberi inspirasi kepada lebih 3,000 wanita yang pernah menghadirinya dengan tema yang berbeza pada setiap kali pelaksanaannya di seluruh negara.
Menurut Annie, pada peringkat awal pelaksanaan seminar, INFRA memberi penumpuan kepada aspek keusahawanan dengan suntikan ilmu dan semangat untuk membantu usahawan wanita luar bandar mengembangkan perniagaan seterusnya menjadi peneraju dalam pembangunan ekonomi komuniti.
“Pada tahun ini, seminar memberi penumpuan kepada aspek penampilan, kesihatan diri (fizikal, mental dan emosi), pendidikan, pembangunan diri serta keseimbangan sebagai seorang pekerja dan penjaga keluarga.
“Perhatian khusus juga diberikan kepada aspek kesihatan wanita, termasuk kesihatan reproduktif dan kesedaran tentang risiko penyakit berkaitan wanita seperti kesihatan mental kerana isu-isu seperti kemurungan dan kecelaruan kebimbangan (Anxiety Disorder) memberi impak besar terhadap kesejahteraan wanita.
“Dari Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 menunjukkan bahawa hampir 0.5 juta orang di Malaysia menghadapi masalah mental, menjadikannya isu serius yang perlu diberi perhatian,” jelasnya pada program yang disertai 286 peserta itu.
Tambahnya, memperkukuhkan program TVET untuk wanita juga adalah kunci untuk meningkatkan kemahiran teknikal, kepimpinan dan mempersiapkan wanita untuk memimpin dalam pelbagai sektor selain mengiktiraf sumbangan mereka dalam pembangunan negara.