MEMBAKUT: Sebanyak lima buah rumah terlibat dalam kebakaran dan tiga daripadanya musnah 100 peratus dalam satu kejadian yang berlaku di Kampung Jambatan Baru dekat sini awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, seramai lapan anggota dari Balai Bomba Beaufort bersama lima anggota dari Balai Bomba Kimanis digerakkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pada jam 4.40 pagi tadi.(14 Nov)
“Sejurus tiba di lokasi kejadian pasukan bomba mendapati kebakaran melibatkan lima buah rumah, tiga buah rumah jenis separuh kekal telah terbakar 100 peratus.
“Manakala dua buah rumah jenis kekal dan separuh kekal berjaya dikawal dan dipadamkan dan terbakar sebanyak 20 peratus.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kebakaran itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi pemadaman diteruskan dan
setelah memastikan tiada lagi bahaya lain yang wujud di lokasi kejadian, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.41 pagi.