Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu: Peningkatan Belanjawan Sabah 2025 yang diumumkan Kerajaan negeri sebanyak RM6.421 bilion berbanding RM5.7 bilion pada tahun ini merupakan satu langkah signifikan dalam meningkatkan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Pengarah Pusat Pembangunan Ekonomi dan Dasar, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Saizal Pinjaman berkata, peningkatan itu mencerminkan komitmen Kerajaan negeri bagi memacu pertumbuhan ekonomi melalui sektor utama.
Katanya, antara sektor utama itu termasuklah pertanian, perindustrian, dan pelancongan yang menerima sejumlah besar peruntukan bagi menyokong inovasi, pembangunan infrastruktur, dan penciptaan peluang pekerjaan.
“Dengan fokus kepada keberkesanan perbelanjaan dan pelaksanaan projek pembangunan, inisiatif ini dijangka akan menyumbang kepada peningkatan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 2.5 peratus pada tahun depan.
“Peruntukan sebanyak RM1.299 bilion bagi pembangunan, yang merangkumi aspek ekonomi dan sosial dilihat menegaskan usaha kerajaan dalam mengurangkan jurang sosioekonomi dan meningkatkan taraf hidup komuniti luar bandar dan bandar.
“Contohnya, pembangunan perumahan kos rendah dan pembaikan kemudahan awam bakal memberi impak langsung kepada golongan berpendapatan rendah,”‘ katanya ketika dihubungi Sabah Media di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Belanjawan Sabah 2025 yang dibentangkan Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini semalam.
Dr Saizal berkata, lebihan bajet sebanyak RM24.08 juta menunjukkan pengurusan kewangan Sabah yang berhemat dimana anggaran hasil negeri dijangka mencapai RM6.445 bilion.
Katanya, ini menunjukkan Sabah bersedia menghadapi cabaran global seperti ketidakstabilan geopolitik dan perubahan pasaran komoditi dengan strategi fiskal yang berhati-hati.
“Peningkatan ini bukan sahaja mencerminkan daya tahan ekonomi negeri tetapi juga memberikan harapan kepada rakyat bahawa pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif dapat dicapai pada tahun-tahun akan datang, ” katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai agihan peruntukkan yang besar kepada dua Kementerian, Dr Saizal berkata, agihan itu mencerminkan fokus Kerajaan Sabah bagi menangani isu-isu legasi infrastruktur.
Dua Kementerian itu adalagh Kementerian Kewangan yang menerima agihan peruntukan sebanyak RM 3.08 bilion dan Kementerian Kerja Raya sebanyak RM1.36 bilion .
“Peruntukan berjumlah RM3.247 bilion yang diperuntukkan bagi perbelanjaan khas untuk membaik pulih bekalan air dan penyenggaraan jalan raya menunjukkan keutamaan kerajaan dalam memperbaiki aspek kritikal yang menjejaskan kehidupan rakyat dan kelestarian ekonomi.
“Langkah ini wajar memandangkan rangkaian jalan raya yang kurang baik serta bekalan air dan elektrik yang tidak stabil memberi impak langsung kepada produktiviti masyarakat dan pelaburan ekonomi negeri,” katanya.
Tambahnya, peruntukan RM2.607 bilion khusus untuk menangani isu infrastruktur asas menunjukkan komitmen yang berterusan untuk meningkatkan tahap kehidupan rakyat di kawasan bandar dan luar bandar.
Katanya, usaha itu penting bukan sahaja untuk meningkatkan aksesibiliti dan kemudahan asas tetapi juga untuk menarik pelaburan baharu dan memacu pertumbuhan ekonomi negeri.
“Dengan pengurusan yang cekap dan pengawasan ketat, peruntukan ini berpotensi membawa perubahan positif yang signifikan kepada tahap kesejahteraan rakyat dan daya tahan ekonomi Sabah,” katanya. – SABAH MEDIA