HomeUtamaFCDO  jamin teliti permintaan Sabah tarik semula larangan perjalanan ke Pantai Timur...

FCDO  jamin teliti permintaan Sabah tarik semula larangan perjalanan ke Pantai Timur Sabah

Read Time:1 Minute, 29 Second

London : Pejabat Luar Negeri, Komanwel dan Pembangunan (FCDO) United Kingdom (UK) memberi jaminan akan meneliti permintaan Sabah untuk menarik balik larangan perjalanan yang melarang warganegara Britain daripada melawat Pantai Timur Sabah.

Nasihat perjalanan yang dikeluarkan FCDO sebelum ini meminta rakyat Britain supaya tidak melakukan perjalanan kecuali jika perlu ke semua pulau dan tapak menyelam di luar Pantai Timur Sabah, berikutan ancaman penculikan.

Pengarah Asia Tenggara dan Pasifik, FCDO, Charles Hay memberikan jaminan itu semasa kunjungan hormat delegasi Sabah yang diketuai oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew, di FCDO, baru-baru ini.

Christina dalam pertemuan itu turut menjemput Charles hadir sendiri ke Sabah bagi melihat sendiri tahap keselamatan yang memuaskan di negeri itu.

“Terima kasih kerana membangkitkan isu ini (penarikan larangan perjalanan). Saya akan menelitinya. Nasihat perjalanan kami adalah berdasarkan penilaian objektif dan kami sentiasa mengkajinya. 

“Kemudian, setelah mendapatkan hasil kajian itu, kami akan memaklumkan kepada pihak anda,” kata Charles kepada Christina ketika dalam pertemuan itu.

Christina turut memaklumkan kepada Charles bahawa UK adalah antara sembilan negara yang mengambil bahagian dalam taklimat dan program tinjauan keselamatan Kementerian Dalam Negeri Malaysia di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZone) atas jemputan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada bulan Julai tahun ini.

Para wakil negara luar yang hadir pada taklimat berkenaan dimaklumkan mengenai langkah-langkah keselamatan yang dilaksanakan di sepanjang Pantai Timur Sabah, terutamanya dalam ESSZone.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Julinus Jeffery Jimit berkata, Sabah mencatatkan peningkatan pelancong dari UK dan Ireland pada Januari sehingga Ogos tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.

“UK dan Ireland mencatatkan 20,140 pelawat antara Januari sehingga Ogos tahun ini berbanding 18,851 pada tempoh yang sama tahun lepas. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 6.8 peratus,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Pengalaman Mengecewakan dengan Fly Pass Syarikat Penerbangan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular