Kota Kinabalu : Kementerian Kerja Raya (KKR) Sabah sentiasa dan akan terus komited dalam menyediakan kemudahan infrastruktur bagi kesejahteraan rakyat di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, ia termasuklah jalan raya, cerun, jambatan, bekalan air, perkhidmatan pembetungan dan infrastruktur pelabuhan dan dermaga selain perkhidmatan yang berkaitan.
Katanya, pembinaan jejantas pejalan kaki melintasi landasan kereta api di Petagas disenaraikan menjadi antara projek yang akan dilaksanakan menerusi Belanjawan Sabah 2025.
“Projek pelaksanaan jejantas pejalan kaki melintasi landasan kereta api itu adalah antara yang akan dilaksanakan di bawah peruntukan RM63.61 juta bagi diberikan kepada Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) tahun depan selain dua projek kajian berkaitan pembangunan kereta api di negeri ini.
“Selain dua projek berbentuk kajian yang disebutkan Menteri Kewangan dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada Jumaat lalu, peruntukan ini juga untuk menampung beberapa pelaksanaan projek dan perolehan.
“Antaranya perolehan enam ‘Diesel Multiple Unit (DMU) Powered Cars (PC) serta perolehan seunit lokomotif dan dua unit DMU Non-Powered Cars (NPC).
“Seterusnya ialah projek pembinaan enam perhentian kecil di sektor Kinarut – Sembulan untuk perkhidmatan komuter dan sebuah jejantas pejalan kaki di Petagas,” katanya.
Shahelmey berkata demikian ketika menggulung perbahasan kementeriannya pada Persidangan Dewan Udangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, peruntukan bagi tahun depan itu juga digunakan untuk pembaikan cerun dan tebing sungai di sektor Gorge Line Beaufort – Tenom.
Dalam pada itu, Shahelmey berkata, bagi meningkatkan perkhidmatan bekalan air, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) pula diperuntukkan sebanyak RM729.79 juta bagi melaksanakan program penyelesaian segera dan jangka pendek.
Katanya, ia adalah bertujuan bagi meningkatkan kapasiti dan keberkesanan sistem bekalan air.
“Ini termasuklah projek pembangunan bekalan air jangka panjang dan berimpak tinggi; program penambahan kapasiti bekalan air di seluruh Sabah; Program Building Facility Maintenance Work dalam Loji Rawatan Air (LRA) dibawah seliaan JANS); program penyelenggaraan mekanikal dan elektrikal di Loji Rawatan Air (LRA) dan rumah Pam; dan Maintenance Repair and Routine Maintenance of Water Pipeline for 3 Years,” katanya. – SABAH MEDIA