KOTA KINABALU: Aplikasi dan Buku ReTrack dilancar sebagai langkah untuk menangani isu-isu sosial yang sering dipandang ringan oleh masyarakat.
Pelancaran buku tersebut disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada Majlis Pelancaran Pelan Strategik Pembangunan Ekonomi Daerah Tuaran 2024-2035; Rangka Tindakan Transformasi Sulaman; Pelan Pemberdayaan Komuniti Nelayan Kampung Penimbawan dan Aplikasi serta Buku ReTrack di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Selasa.
Hajiji berkata melalui aplikasi ini, bekas penghuni penjara tidak lagi dibiarkan berjuang sendirian.
“ReTrack berfungsi sebagai platform sokongan yang membantu mereka mendapatkan pekerjaan, membina jaringan sosial yang positif, dan memantau kemajuan reintegrasi mereka ke dalam masyarakat.
“Hal ini sangat penting dan strategik khususnya bagi sebuah negeri yang luas dari segi geografi seperti Sabah”, katanya.
Menurutnya, buku “Dari Penjara ke Masyarakat: Komitmen, Kolaborasi, dan Kesejahteraan” menjadi dokumentasi penting yang menghimpunkan pandangan pakar dari pelbagai sektor.
“Ini adalah bukti bahawa proses reintegrasi memerlukan usaha kolektif, yang melibatkan bukan sahaja individu tersebut tetapi juga keluarga mereka, masyarakat, dan institusi yang relevan.
“Melalui buku ini, kita harap dapat memperbaiki persepsi masyarakat terhadap bekas penghuni penjara dan memberi peluang kedua kepada mereka untuk menyumbang secara bermakna kepada pembangunan Sabah”, katanya.
Hadir sama pada majlis itu Pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) Datuk Seri Azizah Mohd Dun, Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah; Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly, Pengarah Penjara Negeri Sabah & WP Labuan; Timbalan Komisioner Penjara (TKP) Nora Musa dan Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Datuk Dr. Ramzah Dambul.