HomeIsu tempatanMaritim Malaysia tahan bot tunda tangkap ikan di zon larangan

Maritim Malaysia tahan bot tunda tangkap ikan di zon larangan

Read Time:1 Minute, 35 Second

Kota Kinabalu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan menahan sebuah bot pukat tunda yang sedang melakukan aktiviti menangkap ikan dengan cara menunda pukat di posisi 0.7 batu nautika Barat Laut Pulau Sapi lebih kurang 3.30 petang kelmarin.

Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, dalam rondaan yang dijalankan pihaknya telah menahan bot pukat tunda tersebut hasil daripada pemantauan yang dilakukan secara berterusan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, bot tersebut yang dinaiki juragan dan tujuh orang kru telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen kerana menunda bawah tiga batu nautika.

“Pemeriksaan lanjut turut mendapati, dua daripada kru bot telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah.

“Selain itu, kesalahan di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 turut dikesan selepas gagal melaporkan pertukaran nakhoda.

“Bot dan kru yang ditahan bersama ikan campur anggaran lebih kurang 30kg diiring ke Jeti Maritim Malaysia, Sepanggar untuk siasatan lanjut. Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM120,000,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Che Engku Suhaimi berkata, Maritim Malaysia akan memantau kawasan tumpuan di mana aktiviti ini sering dilakukan oleh bot-bot nelayan yang ingkar dan telah mengabaikan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.

Berikutan itu, beliau menyeru kepada orang awam terutamanya komuniti maritim untuk terus menyalurkan sebarang maklumat sekiranya terdapat apa-apa aktiviti yang mencurigakan melalui saluran yang betul dengan memaklumkan pihak Maritim Malaysia dengan kadar segera.

Terdahulu beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada komuniti maritim yang terus memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat untuk menangani isu ini

Tambah beliau, orang awam dimohon menyalurkan maklumat segera bagi menghalang kegiatan mencuri hasil laut di perairan negara.

“Sebarang maklumat dan aduan boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah di talian 088-270165 atau talian kecemasan 999 bagi memaklumkan sebarang kes kecemasan di laut,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

48 murid SK Sembulan sertai Program Khatan beramai-ramai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular