Penampang: Aktiviti santai kad permainan bertemakan ‘Hobi Sihat’ berupaya membantu memupuk pemikiran kritikal, meningkatkan interaksi sosial serta melahirkan suasana positif dan sihat dalam kalangan belia.
Penganjur acara, Ericson Lotidis berkata, pertandingan ini memberikan peluang kepada peserta dari pelbagai lapisan masyarakat seawal usia kanak-kanak hingga golongan dewasa untuk berinteraksi melalui program ini.
“Dengan hadiah wang tunai bernilai RM1,000 kepada pemenang beserta hadiah tambahan seperti pelbagai produk pemainan, piala, t-shirt dan cenderamata yang dianggarkan mencecah sehingga RM5,000.
“Manakala matlamat utama acara ini adalah bertujuan memberi sumbangan kembali kepada komuniti melalui aktiviti yang bermanfaat serta memperkukuh jaringan kerjasama dalam kalangan masyarakat setempat.
“Suka saya tekankan di sini bahawa pentingnya meluangkan masa dengan aktiviti yang membawa faedah kepada kehidupan masa kini,” katanya selepas selesai aktiviti santai itu di sini semalam.
Pada masa sama, Eric berkata, antara tarikan lain yang ada dalam acara tersebut adalah orang awam berpeluang untuk belajar asas bermain kad permainan ‘Magic: The Gathering’ (MTG) secara interaktif.
“Acara ini diharapkan dapat diketahui dengan lebih luas dalam masyarakat tempatan.
“Kita juga bercadang program ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang, selaras dengan usaha untuk mempelbagaikan lagi aktiviti komuniti.
“Dengan kejayaan acara kali ini, kita turut berharap dapat meneruskan untuk memperkasakan komuniti MTG melalui program yang sihat, menyeronokkan, dan bermanfaat,” katanya.
Acara ini dianjurkan oleh Restaurant 916 yang turut disokong oleh syarikat permainan terkenal Animart Hobby Creatives Sdn. Bhd, Pusat Tuisyen Skor A dan Sabah Trading Card Game Enthusiast Association (SIREN). – SABAH MEDIA