Beaufort : Peranan persatuan dalam menggalakkan aktiviti pendermaan darah amatlah penting sekaligus menerapkan amalan menderma darah sebagai salah satu tanggungjawab sosial dalam kalangan masyakarat.
Pengarah Hospital Beaufort, Dr Sutharsan a/l Kannan berkata, hal ini kerana penglibatan persatuan yang bergiat aktif menganjurkan program-program derma darah menjadikan masyakarat lebih peka dan cakna dengan keperluan untuk menderma darah serta manfaatnya.
“Ini dibuktikan dengan peranan Persatuan Persahabatan Hung Men Beaufort yang telah berjaya mengutip sejumlah 1,308 beg darah dalam 16 siri program derma darah sepanjang 2024 dengan turut melibatkan beberapa persatuan dan badan bukan kerajaan secara kolaborasi pintar.
“Pihak hospital amat berbesar hati dengan sumbangan dan peranan yang dilaksanakan persatuan-persatuan bagi menggalakkan pendermaan darah dan juga jabatan kerajaan persekutuan dan negeri, sekolah-sekolah yang sentiasa menjemput hospital mengadakan aktiviti menderma darah di dalam acara-acara yang mereka anjurkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Program Adiwira Darah 2024 yang diadakan di Dewan Arena Belia dan Sukan Beaufort, di sini kelmarin.
Program tersebut turut dihadiri Skuad Ar-Rayyan Sabah, Persatuan Suara Belia Beaufort, San Min Quarry Sdn Bhd dan Kilang Mee Aniq.
Sutharsan berkata, sebanyak 3,924 nyawa berjaya diselamatkan sepanjang tahun ini oleh Persatuan dan rakan-rakan strategik yang membantu dalam aktiviti pendermaan darah.
Katanya, darah-darah yang dikutip bukan sahaja membantu bekalan darah di daerah Beaufort, malah turut membantu bekalan darah hospital-hospital terdekat seperti Kuala Penyu, Papar, Sipitang, Ranau, Keningau dan beberapa lagi daerah lain di negeri ini. – SABAH MEDIA