Kota Kinabalu : Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11 Tun Musa Aman berjaya membangunkan ekonomi Sabah dengan menumpukan perbadanan kewangan negeri sebelum terlibat dalam bidang politik.
Perkara itu dinyatakan Focal Person Kebangsaan Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Mohammad Arif Tun Sakaran yang turut menyambut baik pelantikan bekas Ketua Menteri Sabah itu.
Katanya, peranan Tun Musa ketika menjawat jawatan Ketua Menteri sebelum ini turut membawa kejayaan Sabah di pelbagai peringkat.
“Saya sendiri menyambut baik di atas pelantikan Tun Musa sebagai Yang di-Pertuan Negeri Sabah yang baharu.
“Kerana kalau kita lihat peranan Tun Musa sangat banyak membawa kejayaan di peringkat negeri sepanjang 15 tahun menjawat jawatan Ketua Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Apresiasi Murid Tahun Enam, PPKI dan Pra Sekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Luyang di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohammad Arif berkata, Tun Musa juga sebelum ini telah menumpukan perbadanan kewangan di negeri Sabah yang begitu cemerlang sebelum terlibat secara langsung dalam arena politik.
“Kita lihat banyak pembangunan sektor ekonomi yang dibangun oleh Tun Musa dengan menubuhkan beberapa agensi-agensi di negeri ini,” katanya.
Terdahulu Tun Musa, 73, dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sabah, bagi tempoh empat tahun bermula 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2028.
Pelantikan Tun Musa adalah bagi menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan pada 31 Disember ini, selepas menyandang jawatan itu selama empat penggal bermula 1 Januari 2011.
Tun Musa turut dilaporkan selamat tiba bersama rombongan di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini, pada kira-kira jam 12.02 tengah hari tadi dan disambut oleh ribuan rakyat Sabah. – SABAH MEDIA