HomeIsu tempatanBelajar FESEM, UMS hantar kakitangan ke Jepun

Belajar FESEM, UMS hantar kakitangan ke Jepun

Read Time:2 Minute, 4 Second

Kota Kinabalu : Pusat Instrumentasi dan Perkhidmatan Sains (PIPS) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menghantar lima orang kakitangan untuk menghadiri latihan lanjutan di Kilang JEOL, Ohtemachi Chiyoda-ku Jepun, baru-baru ini. 

Latihan selama lima hari bermula 21 hingga 25 Oktober 2024 bertujuan mempelajari teori serta pengendalian alat Jeol Field Emission Scanning Electron Microscopy (FESEM) Model JSM-7900F.

Kakitangan yang terlibat dalam latihan ini termasuk Timbalan Pengarah PIPS, UMS Prof. Madya Ts. ChM. Dr. Mohd Sani Sarjadi serta beberapa staf lain yang memiliki latar belakang dalam bidang sains dan teknologi. 

FESEM merupakan alat canggih yang digunakan untuk memperlihatkan butiran topografi yang sangat kecil pada permukaan objek, memberikan resolusi yang boleh mencapai skala nanometer. 

Menurut Mohd Sani, dalam konteks penyelidikan, alat tersebut amat penting dalam bidang kimia, fizik dan biologi yang mana para penyelidik dapat memerhatikan struktur yang sehingga sekecil 1 nanometer. 

“Melalui kursus tersebut, para peserta diperkenalkan kepada teknik dan aplikasi FESEM yang lebih mendalam, termasuk cara menganalisis morfologi permukaan sampel dan melakukan analisis kehadiran unsur kimia menggunakan kaedah pengesanan EDX. 

“Latihan ini juga merangkumi sesi praktikal yang mana peserta berpeluang untuk menggunakan alat FESEM secara langsung, sehingga mereka dapat memahami dengan lebih baik operasi dan potensi alat tersebut.

“Dengan mengikuti kursus ini, para peserta diharapkan dapat membawa pulang pengetahuan yang dapat meningkatkan kecekapan penggunaan FESEM di PIPS, UMS. Ini sekali gus memaksimumkan potensi alat tersebut dalam melaksanakan penyelidikan dan analisis di institusi mereka,” katanya. 

Latihan telah dikendalikan oleh Pengurus Jabatan Promosi Penyelesaian di JEOL, Akane Tameike.

Tambah Mohd Sani, melalui kursus tersebut juga para peserta mampu memberikan khidmat kepakaran sebagai pakar rujuk kepada penyelidik di UMS serta pihak industri, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada penyedia perkhidmatan luar untuk analisis sampel menggunakan FESEM.

“Peningkatan kualiti penyelidikan di UMS juga dijangka melalui aplikasi teknologi FESEM yang lebih efisien yang akan menyumbang kepada perkembangan ilmu pengetahuan dan teknologi di Malaysia. Selain itu, latihan ini juga berpotensi meningkatkan profil PIPS UMS sebagai pusat rujukan utama untuk analisis FESEM di negara ini.

“Latihan ini adalah langkah penting dalam usaha PIPS UMS untuk terus mengembangkan kapasiti dan kemampuan kakitangannya dalam bidang mikroskopik elektron. 

“Dengan adanya ilmu dan pengalaman yang diperoleh dari latihan ini, PIPS diharapkan dapat memberikan impak positif bukan sahaja kepada penyelidik di UMS tetapi juga kepada industri dan masyarakat umum,” katanya. 

PIPS UMS komited untuk terus mengembangkan kapasiti dan kemampuan dalam menyediakan perkhidmatan analisis yang canggih dan berkesan serta menjadi pemangkin kepada inovasi dan penyelidikan yang berkualiti tinggi.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Maritim Malaysia tahan dua bot tunda nelayan lakukan aktiviti tarik pukat...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular