HomeIsu tempatanUMS, Arkib Negeri Sabah meterai MoU bagi perkukuh kerjasama pemeliharaan sumber warisan Sabah

UMS, Arkib Negeri Sabah meterai MoU bagi perkukuh kerjasama pemeliharaan sumber warisan Sabah

Read Time:1 Minute, 52 Second

Kota Kinabalu : Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Jabatan Arkib Negeri Sabah memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) bagi kerjasama dalam bidang penyelidikan, pendidikan dan pengurusan serta pemeliharaan sumber warisan negeri Sabah.

MoU tersebut dimeterai dalam satu majlis menandatangani MoU antara kedua-dua pihak di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), UMS.

Dekan FSSK, Prof. Dr. Asmady Idris yang mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor menandatangani dokumen MoU bagi pihak UMS, manakala Jabatan Arkib Negeri Sabah diwakili oleh pengarahnya, Shirley Sion.

Turut bersama menyaksikan pemeteraian MoU tersebut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Zainudin Aman.

Terdahulu, Asmady ketika membacakan teks ucapan Naib Canselor UMS berkata, kerjasama tersebut penting kerana akan membolehkan para pelajar UMS untuk mengakses pelbagai sumber yang dapat memperkaya pengetahuan dan pemahaman mereka mengenai sejarah dan warisan negeri Sabah.

“Jabatan Arkib Negeri Sabah memainkan peranan yang sangat besar dalam memelihara dan menguruskan warisan dokumentasi negeri kita khususnya dalam bidang sejarah serta pengarkiban.

“Justeru itu, menerusi perjanjian ini, diharapkan kedua-dua pihak dapat melaksanakan beberapa inisiatif seperti program penyelidikan bersama iaitu memfasilitasikan penyelidikan berkaitan dengan sejarah dan budaya negeri Sabah dan menghasilkan penulisan akademik yang berkualiti.

“UMS dan Jabatan Arkib Negeri Sabah juga boleh memperkukuh program pendidikan menerusi kerjasama untuk pelaksanaan seminar, bengkel, dan pameran yang dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemeliharaan rekod dan warisan,” katanya.

Tambah beliau, kolaborasi itu dijangka mampu menggalakkan pertukaran kepakaran dan pengetahuan antara staf akademik UMS dan pegawai Arkib Negeri Sabah, sekali gus memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Dalam pada itu, Zainudin ketika berucap pada majlis tersebut berkata, kerjasama sebegini amat penting bukan sahaja terhadap usaha pemeliharaan khazanah warisan sejarah negeri Sabah, tetapi turut berperanan dalam perkembangan ilmu berkaitan negeri Sabah.

“Kerjasama ini semestinya akan memudahkan para pelajar dan ahli akademik untuk mengakses segala dokumen, gambar dan sebagainya untuk tujuan kajian, dan ini bakal memanfaatkan pelbagai bidang ilmu.

“Ini akan mengembangkan lagi peranan Jabatan Arkib Negeri Sabah yang tidak hanya menyimpan bahan bersejarah, tetapi menjadikan bahan arkib sebagai intipati terhadap perkembangan ilmu,” ujar beliau.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FSSK, Prof. Madya Dr. Syahruddin Awg. Ahmad; Pegawai Undang-Undang Negeri Sabah, Habibah Abd. Rashid; Ketua Program Sejarah FSSK, Dr. Eko Prayitno Joko; dan Ketua Pentadbiran FSSK, Norhanieyati Norhaizat.

RELATED ARTICLES
Siti Noorsiah menyampaikan anugerah khas kepada Mohd Arif pada majlis itu
Isu tempatan

SKTA II hargai sumbangan pelbagai pihak dalam sukan, ko-kurikulum

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular