MEMBAKUT: Seorang lelaki berusia 19 tahun maut selepas terkena renjatan elektrik semasa menjalankan aktiviti memasang talian internet sebuah syarikat telekomunikasi di tiang elektrik di Kampung Sinoko, Jalan Bambangan dekat sini, petang tadi.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 4.20 petang melalui panggilan MERS999.
“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kimanis tiba di lokasi kejadian mendapati mangsa seorang lelaki dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja-kerja memasang kabel talian internet sebuah syarikat telekomunikasi di tiang elektrik.
“Mangsa berusia 19 tahun itu telah dihantar ke hospital oleh rakan sekerja sebelum ketibaan pasukan bomba, namun disahkan meninggal dunia oleh doktor bertugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Setelah memastikan keadaan di lokasi selamat, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.12 petang.