HomeEkonomiEkonomi Malaysia Lonjak 5.1% pada 2024, Melebihi Jangkaan Suku Keempat

Ekonomi Malaysia Lonjak 5.1% pada 2024, Melebihi Jangkaan Suku Keempat

Read Time:2 Minute, 17 Second

Pencapaian Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak 5.1% pada 2024, mencerminkan keyakinan dan kesungguhan Kerajaan MADANI untuk mengubah ekonomi Malaysia.

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian tersebut juga dipacu oleh dasar yang jelas dan progresif yang diperkenalkan sejak 2023 di bawah kerangka Ekonomi MADANI serta disokong oleh kestabilan politik.

“Kejayaan ini dicapai melalui usaha bersepadu Kerajaan MADANI dan industri.

“Menjelang tahun 2025, Kerajaan MADANI kekal komited sepenuhnya bagi memperkukuh agenda pembaharuan ekonomi dan institusi untuk melonjakkan negara ke tahap yang lebih tinggi,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Perdana Menteri mengulas rekod KDNK Malaysia yang melonjak kepada 5.1% pada 2024 (2023: 3.6%), melebihi unjuran awal Kerajaan sebanyak 4% hingga 5% yang diumumkan dalam Belanjawan 2024.

Menurut beliau, Kerajaan MADANI juga mengatasi sasaran defisit fiskal bagi tahun 2024 iaitu 4.1% (2023: 5%) berbanding sasaran 4.3%.

Pertumbuhan ekonomi pada tahun 2024 didorong oleh prestasi memberangsangkan dalam:

• Penggunaan swasta meningkat sebanyak 5.1% (2023: 4.7%); 

• Pelaburan meningkat sebanyak 12% (2023: 5.5%); 

• Jumlah dagangan meningkat sebanyak 9.2% kepada RM2.88 trilion; dan 

• Aliran masuk pelaburan langsung asing bersih sebanyak RM47.4 bilion (2023: RM40.4 bilion). 

Penunjuk sokongan lain yang menyumbang kepada pertumbuhan KDNK 2024 termasuk:

• Inflasi menyederhana kepada 1.8% (2023: 2.5%); dan 

• Kadar pengangguran yang rendah pada 3.3% (2023: 3.4%) dengan trend menurun kepada 3.1% pada Disember 2024, terendah dalam tempoh 10 tahun. 

Kerajaan MADANI telah mengunjurkan ekonomi berkembang antara 4.5% hingga 5.5% bagi tahun 2025 didorong oleh limpahan yang lebih besar daripada kitaran menaik teknologi, pelaksanaan yang lebih pantas bagi projek infrastruktur kritikal dan pemangkin serta aktiviti pelancongan yang lebih rancak.

Di bawah Belanjawan 2025, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan secara kolektif telah bertekad untuk melabur RM25 bilion dalam pelaburan langsung domestik untuk tahun pertama daripada 5 tahun pelaksanaan Program Pengaktifan dan Reformasi Badan Berkaitan Kerajaan (GEARuP).

Selain itu, perbelanjaan pengguna yang lebih tinggi berikutan kenaikan gaji minimum dan gaji penjawat awam dijangka akan terus merangsang pertumbuhan ekonomi.

Namun begitu, permintaan luaran yang lebih lemah daripada rakan dagang utama, peningkatan ketegangan geopolitik dan langkah-langkah perlindungan perdagangan boleh mendatangkan risiko kepada pertumbuhan ekonomi.

Bagi tahun 2024, penambahan pinjaman bersih Kerajaan menurun kepada RM76.8 bilion, pengurangan ketara berbanding RM92.6 bilion pada tahun 2023.

Kerajaan MADANI, kata Perdana Menteri, komited untuk meneruskan pelaksanaan pembaharuan utama dalam pelbagai bidang untuk mengukuhkan kemampanan fiskal jangka masa panjang melalui langkah-langkah penyasaran subsidi, kutipan hasil yang dipertingkatkan dan rangka kerja fiskal yang lebih kukuh.

“Usaha ini selaras dengan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850) iaitu mengurangkan defisit fiskal kepada 3% dalam jangka masa sederhana untuk kemampanan kewangan,” kata Anwar

RELATED ARTICLES
Utama

Enam warga Filipina mangsa bot karam diserah semula ke negara jiran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular