HomeUtamaTPNS salur bantuan RM10,000 setiap sekolah terjejas banjir

TPNS salur bantuan RM10,000 setiap sekolah terjejas banjir

Read Time:1 Minute, 53 Second

Oleh FLORIETA DIET

KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) akan menyalurkan bantuan sebanyak RM10,000 untuk setiap sekolah yang terjejas banjir baru-baru ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata lebih daripada 30 buah sekolah di Beaufort, Membakut, Keningau, Tenom dan Sandakan akan menerima bantuan itu.

“Bantuan ini bagi membantu sekolah yang terjejas melaksanakan gotong royong dan mengganti sedikit sebanyak peralatan yang rosak,” katanya selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Induk antara Sabah Net Sdn Bhd dan Theta Telecoms Sdn Bhd di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Khamis.

Beliau yang juga Exco Agama dan Exco Pendidikan menjelaskan TPNS juga telah meluluskan 131 permohonan bantuan pendidikan one off anak-anak Sabah.

“Permohonan yang diluluskan adalah berjumlah RM600,000 lebih bagi membantu anak-anak Sabah meneruskan pelajaran dari peringkat matrikulasi hingga PhD,” katanya.

Sementara menandatangani MOU antara Sabah Net Sdn. Bnd. dan Theta Telecoms Sdn. Bhd. secara rasmi menjalin kerjasama strategik bagi memperkasakan transformasi digital di seluruh Sabah.

Ia adalah sebagai usaha untuk merapatkan jurang digital dan mempercepatkan pembangunan infrastruktur telekomunikasi di Sabah.

Menurut Arifin, kerjasama ini adalah komponen penting dalam merealisaikan aspirasi yang digariskan oleh Jalinan Digital Negara (Jendela) fasa 2, pelan tindakan MyDgital, serta Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

Katanya, ia bertujuan untuk memastikan semua rakyat Sabah mendapat perkhidmatan akses digital yang inklusif dan berkualiti tinggi.

“Akses digital bukan lagi satu kemewahan, tetapi satu keperluan untuk pendidikan, penjagaan kesihatan, dan pembangunan ekonomi, khususnya di kawasan pedalaman,” katanya.

Tambah beliau, melalui inisiatif ini, komuniti luar bandar akan menikmati peningkatan keterhubungan digital yang membuka peluang dalam e-dagang, teleperubatan, pendidikan jarak jauh, sekaligus memacu Sabah ke arah digital yang lebih selamat.

“Inisiatif ini telah dirancang oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan. Starlink yang diusahakan oleh kerajaan Sabah tahun lepas telah memasang lebih 300 unit dan sangat membantu rakyat.

“Begitu juga kerajaan kita melalui SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) menyediakan PoP (Point of Presence), yang sangat membantu pelajar dan sekolah dalam bidang pendidikan, dan inilah yang akan kita pastikan,” ujarnya.

Beliau berkata, setakat ini, lebih kurang 90 peratus kawasan berpenduduk telah menikmati akses keterhubungan digital ini.

“Kita akan pastikan mana-mana kawasan yang masih menghadapi masalah akan dibantu melalui apa yang kita sediakan sekarang, mudah-mudahan memberi manfaat kepada semua,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Terlepas tali gantung, pemuda syukur dapat pulang beraya bersama keluarga

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular