Oleh: Wan Azrain Adnan
Majlis Amanah Rakyat (MARA) masih diselubungi dengan pelbagai isu yang ditonjolkan di media massa. Isu-isu berkenaan kerap dilaporkan sehingga menimbulkan persoalan rakyat sama ada MARA benar-benar berfungsi secara efisien dan telus, serta mencapai matlamat penubuhannya.
Ini persoalan yang mesti dirungkai agar MARA kekal relevan sebagai agensi premier bagi pelaksanaan agenda pembangunan Bumiputera dan negara.
59 Tahun Membina Negara
Pada 1 Mac 2025, MARA telah menyambut ulang tahunnya yang ke-59, setelah ditubuhkan pada 1 Mac 1966. MARA merupakan sebuah agensi di bawah bidang kuasa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Malaysia (KKDW).
Menurut laman sesawang MARA, tanggungjawab utama agensi ini adalah untuk memajukan, menggalakkan, memudah serta melaksanakan pembangunan sosioekonomi dan kemasyarakatan, khususnya di kawasan luar bandar.
Secara ringkasnya, bagi memenuhi tanggungjawab tersebut, MARA menumpukan fokus kepada dua teras utama, iaitu pendidikan dan keusahawanan:
• Pendidikan: Merangkumi pendidikan menengah, tinggi, serta teknikal & vokasional (TVET), dengan institusi seperti Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), German-Malaysian Institute (GMI), GIATMARA, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), dan Kolej Poly-Tech MARA (KPTM).
• Keusahawanan: Melibatkan ekosistem keusahawanan yang menyeluruh, merangkumi latihan, mentoring, pembiayaan, akses pasaran, dan infrastruktur industri.
Sejak hampir 60 tahun penubuhannya, MARA telah mencatat banyak kejayaan yang memberi impak kepada masyarakat di seluruh negara. Kejayaan paling ketara adalah memecahkan kitaran kemiskinan yang telah lama membelenggu masyarakat Bumiputera dan luar bandar. Hasilnya, ramai keluarga berjaya keluar dari kemiskinan dan menikmati kehidupan yang lebih baik.
Tiada siapa yang dapat menafikan jasa dan sumbangan MARA dalam membangunkan tenaga profesional Bumiputera dalam pelbagai bidang seperti perundangan, kejuruteraan, perakaunan, perubatan, arkitek, dan sains.
Melalui agenda pendidikannya, ribuan rakyat telah memperoleh ilmu dan kepakaran yang membolehkan mereka menyumbang kepada pembangunan negara sebagai tenaga kerja produktif. Malah, ramai alumni MARA kini memegang jawatan kepimpinan dalam pelbagai organisasi, termasuk Menteri, Hakim, Ketua Eksekutif, dan Panglima Tentera.
Sebagai contoh, Pegawai Pemerintah pertama kapal selam KD Tun Razak, kapal selam kedua negara, merupakan salah seorang produk MARA yang membanggakan.
Bayangan Skandal dan Pengurusan Lemah
Namun, di sebalik pencapaian yang membanggakan, MARA sering kali dibayangi oleh kegagalan dan skandal yang berulang. Salah laku jenayah dan kelemahan pengurusan telah menyebabkan kerugian jutaan ringgit.
Seperti peribahasa, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
Laporan Ketua Audit Negara 2/2024 mendedahkan bahawa anak syarikat MARA, iaitu MARA Inc, telah merekodkan kerugian terkumpul sebanyak RM286.30 juta. Kerugian besar ini berpunca daripada kesilapan pelaburan dalam pembelian aset melebihi harga pasaran di Australia dan United Kingdom.
Pada awal Mac 2025, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memberi peringatan kepada MARA dan MARA Inc agar memastikan semua projek yang dilaksanakan mampu menjana keuntungan yang tinggi. PAC turut menegaskan bahawa MARA Inc perlu memastikan semua hutang dibayar secara teratur mengikut Pelan Penyelesaian Hutang yang telah ditetapkan.
Selain itu, MARA Inc diingatkan untuk menambah baik dasar, garis panduan, dan SOP supaya selaras dengan keperluan semasa serta mengukuhkan pematuhan terhadap peraturan sedia ada.
PAC juga menegaskan bahawa MARA Inc perlu memastikan pelan pemulihan bagi Premiera Hotel & Resorts Sdn Bhd (PHKL) dengan mengurangkan kerugian terkumpul sebanyak RM84.1 juta pada tahun 2023.
Isu Geran Tidak Dibelanjakan
Pada penghujung Februari 2025, Laporan Ketua Audit Negara 1/2025 (LKAN 1/2025) melaporkan bahawa MARA menerima jumlah geran tertinggi berbanding semua agensi kerajaan pada tahun 2023, iaitu sebanyak RM3.946 bilion (RM1.395 bilion bagi Geran Mengurus dan RM2.551 bilion bagi Geran Pembangunan).

Namun, laporan tersebut turut mendedahkan bahawa MARA merekodkan baki Geran Pembangunan tertinggi sebanyak RM2.39 bilion, termasuk geran untuk pendidikan, keusahawanan, dan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan RMK12 yang masih belum disalurkan sepenuhnya.
Akibatnya, baki geran ini perlu dipulangkan kepada Kerajaan Persekutuan atau digunakan untuk tujuan lain selepas mendapat kelulusan. Situasi ini amat mendukacitakan—dana sudah tersedia, tetapi tidak digunakan dengan efisien bagi membantu golongan sasaran.
Ada dana, tidak dibelanja. Tiada dana, mengeluh tidak cukup. Pelik dan ironik!
Pinjaman Tidak Berbayar Cecah 49.6%
Pada Februari 2025, Pengerusi MARA mendedahkan bahawa kadar Pinjaman Tidak Berbayar (NPL) mencecah 49.6%, dengan jumlah tunggakan sebanyak RM893 juta. Ini bermaksud bagi setiap dua peminjam, seorang gagal membayar balik pinjaman mereka.
Sehingga Oktober 2024, seramai 97,866 daripada 197,348 peminjam aktif telah disenarai hitam. MARA kini mengambil tindakan tegas terhadap peminjam yang gagal melunaskan pinjaman perniagaan untuk mencapai sasaran NPL di bawah 30% menjelang 2025.
Sebagai perbandingan, AIM mencatatkan kadar NPL hanya 0.08%, manakala TEKUN Nasional merekodkan kadar NPL 9.6%.
Kadar NPL MARA yang tinggi ini menyerlahkan kegagalan dalam pengurusan skim pinjaman perniagaan, termasuk aspek penilaian peminjam, kawalan dan pemantauan, serta proses kutipan hutang.
Persoalannya, bagaimana kadar NPL boleh dibiarkan melonjak sehingga hampir 50%? Jika perkara ini berlaku di institusi kewangan lain, bukan sahaja ramai pegawai akan dipecat, malah institusi itu mungkin akan bankrap.
Namun bagi MARA, seolah-olah ia hanya business as usual.
Ke Mana Halatuju MARA?
Agenda pendidikan MARA masih kukuh dan dihormati ramai. Oleh itu, wajar dipertimbangkan sama ada MARA perlu memberi fokus sepenuhnya kepada pendidikan dan melepaskan agenda keusahawanan kepada pihak yang lebih pakar.
Jika ini dilakukan, agenda keusahawanan boleh diselaraskan di bawah satu entiti khusus dan dilaksanakan secara bersepadu untuk memperkasakan usahawan Bumiputera secara lebih sistematik.
Rakyat sudah jemu dengan pendekatan ‘business as usual’. MARA mesti berubah.