HomeIsu tempatanMaritim Malaysia tahan dua kapal nelayan Vietnam

Maritim Malaysia tahan dua kapal nelayan Vietnam

Read Time:1 Minute, 35 Second

Kudat : Tindakan pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan cubaan dua Vesel Nelayan Asing (VNA) Vietnam yang sedang giat merompak hasil laut negara di perairan Kudat, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, kejayaan itu adalah hasil maklumat awam yang diterima pihaknya dan dua aset rondaan yang sedang melaksanakan operasi digerakkan ke lokasi berkenaan sekitar jam 3.15 petang.

“Sebaik tiba di kawasan sasaran kira-kira 11 batu nautika timur laut Pulau Sibogor, pasukan operasi mengesan dua VNA Vietnam sedang leka menjalankan aktiviti perikanan haram,

“Semasa cuba dihampiri, suspek bertindak memotong tali tunda serta membiarkan tali terjuntai panjang di bahagian belakang vesel serta memasang palang besi di bahagian kiri dan kanan vesel terbabit kerana enggan memberi kerjasama ketika diarahkan untuk berhenti,” katanya dalam kenyataan di sini.

Hasbullah berkata, helah tersebut gagal apabila berlaku aksi kejar-mengejar selama 15 minit sebelum anggota Maritim berjaya melompat ke atas VNA berkenaan bagi menghentikannya.

Setelah penggeledahan dilakukan katanya, kedua-dua bot nelayan terbabit disyaki melakukan aktiviti menunda dan menangkap balat dengan penemuan  peralatan yang diperbuat daripada besi padu yang direka khas untuk menangkap balat.

“Pemeriksaan ke atas kedua-dua bot berkenaan juga turut menemui lebih kurang 45kg balat basah serta sekitar 500 liter minyak diesel dibawa setiap bot berkenaan.

“Seramai 12 individu merupakan warganegara Vietnam berusia antara 30 hingga 53 tahun ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Menurutnya lagi, semua yang terbabit termasuk bot serta hasil laut diiring masuk ke Jeti untuk siasatan lanjut.

Tambahnya, keseluruhan nilai rampasan termasuk bot dianggarkan lebih RM4 juta dan kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1956/63.

“Maritim Malaysia merakamkan jutaan terima kasih di atas kerjasama yang diberikan oleh masyarakat awam khususnya komuniti maritim di sekitar perairan Kudat yang sentiasa menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan salah laku yang berlaku di perairan ini,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMSfm hasrat kolaborasi bidang  penyiaran di Korea Selatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular