Nabawan : Seramai 24 mangsa termasuk 12 kanak-kanak lelaki dan perempuan berjaya diselamatkan pasukan bomba selepas kediaman mereka di Kampung Indah di sini dilanda banjir.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nabawan Rudy Mekii berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 8 pagi tadi.
Berikutan itu, katanya, sepasukan anggota dari BBP Nabawan seramai tujuh anggota diarahkan ke lokasi untuk misi menyelamat.

“Sebaik tiba di lokasi, 24 mangsa didapati terperangkap dalam banjir di lokasi berikutan hujan berterusan sejak semalam.
“Daripada jumlah itu, empat adalah lelaki dewasa; lapan perempuan dewasa; tujuh kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan yang terperangkap selepas kediaman mereka dinaiki air,” katanya dalam kenyataan di sini.
Katanya, pasukan Bomba berjaya memindahkan semua mangsa banjir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Nabawan.
Tambahnya, pemantauan berterusan dijalankan dan setelah memastikan tiada bahaya lain yang wujud operasi ditamatkan. – SABAH MEDIA / FOTO JBPM SABAH