Oleh J. EVACHEL JOHN
TAMBUNAN: Bengkel Permurnian Baju Tradisi Tambunan menghimpunkan komuniti setempat dalam satu usaha kolektif untuk memperhalusi dan memperkukuh identiti autentik pakaian tradisi masyarakat Dusun Tambunan.

Dianjurkan oleh Majlis Wanita Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) dengan kerjasama KDCA Tambunan, bengkel itu dihadiri oleh pemimpin komuniti, penggiat budaya, penenun dan tukang jahit pakaian tradisi.
Pengerusi Bersama Jawatankuasa Unduk Ngadau Kebangsaan, Datuk Joanna Kitingan berkata berdasarkan pemerhatiannya selama bertahun-tahun, pakaian tradisi yang diperagakan oleh Unduk Ngadau mengalami banyak perubahan.

“Namun perubahan itu bukanlah hasil perbincangan atau persetujuan komuniti, sebaliknya dibuat oleh ‘so-called researchers’ atau individu yang menguruskan seseorang peserta Unduk Ngadau,” katanya.
Menurut beliau, sudah tiba masanya komuniti setempat, terutamanya golongan wanita, tampil untuk memperhalusi semula identiti asli pakaian tradisi Tambunan.
“Bukan untuk mencipta yang baharu, tetapi memperbaiki dan memperhalusi apa yang sudah ada,” tambahnya.
Beliau juga mengalu-alukan penyelidik lain untuk berkongsi maklumat lanjut bagi membolehkan usaha pemurnian dapat menghasilkan pakaian tradisi Tambunan yang diterima bersama oleh masyarat Tambunan.
Bengkel yang berlansung baru-baru ini di Tandarason Resort & Country Club (TRCC) memberi ruang kepada para peserta untuk berkongsi khazanah berharga seperti foto lama, Sunduk (penutup kepala wanita) milik nenek mereka, serta pakaian tradisi lama yang dihiasi ‘Linangkitan’ — seni sulaman tangan halus yang hampir pupus akibat pengaruh hiasan moden seperti renda emas atau ‘siling’.
“Semua bersetuju untuk menghasilkan ‘Sinombiayaka Tambunan’ dan ‘Pinolongon’ yang diperhalusi menggunakan ‘Linangkitan’ Tambunan dengan motif yang unik.
“Usaha juga akan dibuat untuk mengetengahkan semula penggunaan ‘Sunduk’ yang ditenun, sekaligus menyokong hasil tangan penenun tempatan.
“Semua yang hadir berharap agar hasil pemurnian ini akan mencerminkan identiti sebenar masyarakat Dusun Tambunan,” katanya.
Sementara itu, isteri kepada Timbalan Presiden KDCA, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, iaitu Datin Seri Cecilia, berkata bengkel ini juga penting dalam usaha mendokumentasikan motif dan simbol dalam pakaian tradisi.
“Motif-motif ini bukan sekadar corak atau hiasan. Ia membawa nilai, cerita dan identiti nenek moyang kita. Dengan memperhalusi dan mendokumentasikannya hari ini, kita dapat memastikan ia kekal menjadi legasi masa hadapan,” katanya.
Turut hadir menyatakan sokongan dalam bengkel pemurnian itu ialah Naib Presiden KDCA yang baharu dilantik, Datuk Daniel Kinsik; Pegawai Daerah Tambunan, Sobitun Makajil; serta wakil daripada tujuh mukim dalam daerah Tambunan — Toboh, Nambayan, Lintuhun, Monsorulung, Patau, Sunsuron, dan Kirokot.