Oleh FLORIETA DIET
KOTA KINABALU: Dua buah bangunan milik sebuah pusat cucian kereta di Batu 6, Inanam, musnah sepenuhnya dalam satu kebakaran yang berlaku pada petang Sabtu (12 April).
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, PKPgB Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 5.28 petang tadi.
“Kebakaran membabitkan dua struktur separuh kekal bersaiz 20×50 kaki persegi setiap satu.
Bangunan pertama yang terbakar merupakan asrama pekerja dan stor, manakala bangunan kedua pula merupakan pejabat pengurusan.
“Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Seramai 28 anggota terlibat dalam operasi pemadaman, melibatkan BBP Lintas (11 anggota), BBP Kota Kinabalu (10 anggota) dan BBP Penampang (7 anggota).
“Pasukan pertama dari BBP Lintas tiba di lokasi kira-kira dua kilometer dari balai pada jam 5.32 petang,” ujarnya.
Kebakaran berjaya dikawal sepuluh minit kemudian, iaitu pada jam 5.43 petang, sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.03 malam.
Menurutnya, operasi pemadaman melibatkan penggunaan tiga jentera FRT serta sumber air dari pili bomba berhampiran.
“Punca kebakaran masih dalam siasatan dan pasukan bomba turut menjalankan pemeriksaan menyeluruh di kawasan sekitar bagi memastikan tiada lagi risiko kebakaran,” katanya.