KOTA KINABALU : Sabah membenarkan kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 18 tahun memasuki premis perniagaan bermula esok.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, selain itu, aktiviti tamu, pasar tani, pasar malam dan pasar mingguan turut dibenarkan dibuka dengan syarat pematuhan arahan vaksinasi.
“Bermula esok, kanak-kanak di bawah 12 tahun dibenarkan dine-in di restoran selain masuk ke premis perniagaan termasuk pusat membeli belah, perhotelan (termasuk fasiliti seperti kolam renang.
“Selain itu, mereka juga dibenarkan untuk aktiviti perkelahan dan perkhemahan sekiranya ditemani oleh ibu bapa yang telah lengkap divaksin,” katanya dalam kenyataan disini malam ini.
Masidi berkata, remaja berusia 12 hingga 18 tahun yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin turut dibenarkan dine-in di restoran dan masuk ke premis perniagaan termasuk pusat membeli belah.
Katanya, ia juga termasuk perhotelan (termasuk fasiliti seperti kolam renang), aktiviti perkelahan dan perkhemahan.
“Aktiviti perniagaan di Pasar Tamu, Pasar Tani, Pasar Minggu dan Pasar Malam dibenarkan di daerah-daerah yang telah mencapai peratusan vaksinasi lengkap sekurang-kurangnya 60 peratus penduduk dewasa.
“Namun ia juga tertakluk kepada penilaian risiko dan kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Penjaja dan operator termasuk pengunjung hendaklah lengkap divaksin,” katanya.