Kota Kinabalu : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan Datuk Abd Ghani Mohamed Yassin mahu agihan peruntukan seharusnya diimbangi dengan kadar yang wajar untuk setiap kawasan mengikut keperluan semasa samada untuk kawasan bandar dan luar bandar.
Katanya, ini termasuklah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nabawan yang dikategorikan sebagai kawasan luar bandar yang dilihat masih ketinggalan khususnya dRi segi infrastruktur dan keperluan asas yang perlu di beri tumpuan.
Menurutnya, akses jalan perhubungan di perkampungan, bekalan air dan elektrik juga perlu diberi perhatian sewajarnya.
“Sebagai contoh, jalan-jalan bekas balak yang menjadi fokus utama saya agar pihak Kerajaan terus mengagihkan peruntukan untuk menaiktaraf dan menyelenggara jalan-jalan tersebut kerana ianya sudah menjadi laluan utama penduduk kampung di Nabawan.
“Begitu juga dengan keperluan bekalan air bersih untuk penduduk luar bandar, kerajaan negeri perlulah mengagihkan sejumlah peruntukan untuk memberi penekanan mengenai projek-projek bekalan air alternatif seperti paip-paip graviti dan sistem telaga tiub.
“Selain itu, bekalan elektrik juga masih ada ruang untuk diselesaikan sepenuhnya di kawasan perkampungan di pedalaman Nabawan yang belum mendapat akses bekalan elektrik kerana ia merupakan keperluan rakyat untuk meneruskan kehidupan dengan lebih sejahtera seiring dengan perubahan zaman pada masa kini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahas Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2025) pada Persidangan DUN Sabah di sini pada Isnin.
Ghani berkata, peruntukan tambahan akan dirasai kesan dan maknanya oleh rakyat di negeri ini sekiranya ia diterjemahkan dengan cekap dan berintegriti.
Katanya, perkara yang perlu dielakkan adalah agar tidak wujud situasi dimana peruntukan diluluskan, tetapi kadar pelaksanaan projek sangat rendah atau berlaku ketirisan dalam pelaksanaan.
“Maka di dewan yang mulia ini saya juga ingin mencadangkan adalah wajar sekiranya kerajaan mewujudkan jawatankuasa pemantau pelaksanaan perbelanjaan tambahan yang ditubuhkan di bawah Pejabat Setiausaha Tetap Kementerian, Kewangan Negeri, yang akan memantau prestasi setiap kementerian dan jabatan yang menerima tambahan peruntukan ini.
“Saya menyokong penuh Rang Undang- Undang Perbekalan Tambahan (2025) dengan harapan semoga peruntukan tambahan ini akan dibelanjakan dengan penuh amanah, adil dan berkesan untuk rakyat Sabah demi kesejahteraan dan kemajuan negeri Sabah yang kita sayangi,” katanya. – SABAH MEDIA



