HomeUtamaIsu Esteel hangatkan Sidang DUN Sabah

Isu Esteel hangatkan Sidang DUN Sabah

Read Time:1 Minute, 40 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini menjadi hangat apabila isu pelaburan Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd dibangkitkan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe.

Ketegangan timbul apabila Phoong mempersoalkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong, yang kerap membangkitkan isu berkenaan di luar Dewan tetapi tidak mengemukakan sebarang soalan rasmi dalam sidang kali ini.

“Saya sebenarnya ingin menjawab soalan daripada Yang Berhormat Elopura kerana beliau telah banyak kali bertanya soalan melalui sidang media di luar Dewan Yang Mulia ini, sehingga membuat laporan polis, tetapi beliau tidak berani mengemukakan soalan pada sesi ini,” kata Phoong.

Beliau sebaliknya merakamkan penghargaan kepada ADUN Kepayan yang mengemukakan soalan berkaitan projek pelaburan tersebut.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Kepayan kerana mengemukakan soalan ini. Ini penting kerana ia melibatkan imej pelaburan negeri kita. Saya hairan dan kecewa mengapa pelaburan ini dipolitikkan,” katanya.

Phoong turut menegaskan bahawa sepanjang persidangan DUN, ADUN Elopura tidak pernah mengemukakan sebarang soalan lisan atau bertulis mengenai isu Esteel dalam Dewan.

Calvin yang bangun mencelah menyatakan sokongan penuh terhadap isu tersebut namun mempertikaikan kenyataan Phoong.

“Saya sokong penuh. Tapi apa salah saya? Saya wakil rakyat. Saya tanya soalan. Apa salah saya?” katanya.

Phoong kemudian menjawab dengan tenang: “Yang Berhormat, begini. You ask the question outside Dewan, it’s okay. Kemukakan kenyataan di media pun okay. Soalan itu adalah kebebasan sebagai wakil rakyat.”

Calvin terus membalas dengan berkata: “Jawab soalan saya. Jangan query saya tanya soalan di luar.”

Bagi mengelakkan suasana menjadi lebih tegang, Speaker DUN Datuk Seri Kadzim M.Yahya kemudian meneruskan sesi persidangan dengan soalan seterusnya.

Untuk rekod, Calvin sebelum ini membuat laporan polis pada awal Jun lalu berhubung dakwaan kegagalan projek pelaburan Esteel di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

Menurut Phoong, laporan polis tersebut secara tidak langsung menggambarkan seolah-olah kerajaan berbohong mengenai projek berimpak tinggi bernilai RM31 bilion itu, sedangkan ia telah pun dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 30 Mei lalu.

RELATED ARTICLES
Utama

Sesi persekolahan SK Pinapak diteruskan Isnin ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular