HomeUtamaIsu hak 40 peratus hasil Sabah: Mahkamah tetapkan 7 Ogos untuk semakan

Isu hak 40 peratus hasil Sabah: Mahkamah tetapkan 7 Ogos untuk semakan

Read Time:2 Minute, 9 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi menetapkan 7 Ogos ini sebagai tarikh semakan secara dalam talian (e-Review) bagi memberikan arahan lanjut berhubung permohonan semakan kehakiman berkaitan hak 40 peratus hasil negeri Sabah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Celestina Stuel Galid, menetapkan tarikh tersebut selepas pendengaran penuh “substantive merits” (isi kandungan utama) permohonan itu.

Celestina berkata mahkamah kebiasaannya akan menyampaikan keputusan dalam tempoh empat minggu selepas hujahan terakhir. Namun begitu, kes ini merupakan satu pengecualian.

Beliau menjelaskan bahawa mahkamah memerlukan lebih masa untuk meneliti semua dokumen dan penghujahan yang dikemukakan sebelum membuat keputusan.

Tambahnya, semasa e-review pada 7 Ogos nanti, mahkamah akan menentukan sama ada penjelasan lanjut diperlukan. Jika tidak, tarikh untuk penyampaian keputusan akan ditetapkan.

Pada Jun 2022, Sabah Law Society (SLS) telah memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap Kerajaan Persekutuan.

Pada November 2022, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan SLS untuk meneruskan prosiding semakan kehakiman tersebut.

Kerajaan Persekutuan kemudiannya memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan itu.

Namun pada Jun 2024, Mahkamah Rayuan sebulat suara menolak rayuan Kerajaan Persekutuan, sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi untuk membenarkan SLS meneruskan semakan kehakiman.

Kerajaan Persekutuan sekali lagi memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Bagaimanapun, pada Oktober 2024, Mahkamah Persekutuan sebulat suara menolak permohonan tersebut. Oleh itu, kes ini dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran “substantive merits”.

SLS diwakili oleh peguam utama Dr David Fung, Jeyan Marimuttu, Janice Lim, dan Grace Liew.

Kerajaan Persekutuan diwakili oleh Peguam Persekutuan Kanan (SFC) Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi, Nurhafizza Azizan, dan Azza Azmi, bersama Peguam Persekutuan (FC) M. Kogilam Bigai dan Nur Atirah Aiman Rahim.

Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Soh, bersama Peguam Negeri Devina Teo dan Roland Alik, mewakili Kerajaan Negeri Sabah.

Terdahulu pada sebelah pagi, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) meluangkan masa untuk hadir di prosiding semakan kehakiman SLS mengenai tuntutan 40 peratus hasil negeri, walaupun Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah sedang berlangsung pada hari yang sama.

Antara yang dilihat hadir ialah bekas Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Yong Teck Lee, serta Adun Moyog Datuk Darell Leiking, Adun Tungku Assaffal P. Alian, Adun Elopura Calvin Chong, dan Adun Sri Tanjong Justin Wong.

Turut kelihatan ialah bekas Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Datuk Jimmy Wong Sze Phin dan
Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Jeffrey Kitingan, hadir pada sesi petang.

LINK BERITA TERDAHULU: https://sabahmedia.com/2025/07/07/mahkamah-jadi-tumpuan-berhubung-semakan-kehakiman-40-peratus-hasil-sabah

RELATED ARTICLES
Utama

Sesi persekolahan SK Pinapak diteruskan Isnin ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular