Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Sebanyak 578 ladang pertanian di Sabah telah menerima pensijilan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) setakat Mei 2025, melibatkan kawasan seluas 3,132.18 hektar.
Selain itu, sebanyak 34 ladang pula menerima pensijilan di bawah Skim Organik Malaysia (myOrganic) melibatkan keluasan 453.10 hektar. Pensijilan tersebut merangkumi pelbagai tanaman termasuk buah-buahan, kopi, kelapa, sayur-sayuran, padi, herba dan ternakan kelulut.
Perkara itu dimaklumkan Pembantu Menteri I Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Hendrus Anding dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini, ketika menjawab soalan lisan ADUN Kemabong berhubung usaha kerajaan meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil pertanian di negeri ini.
Beliau berkata, kementerian turut melaksanakan Skim Pengesahan Bahan Tanaman bagi mengiktiraf ladang dan nurseri yang mengeluarkan bahan tanaman tulen dan berkualiti.
Mengulas mengenai pengeluaran padi, Hendrus berkata, LPBS sedang melaksanakan usaha meningkatkan produktiviti tanaman padi di enam daerah utama iaitu Kota Marudu, Kota Belud, Tuaran, Tambunan, Keningau dan Papar.
“LPBS telah mengenal pasti seluas 300 ekar kawasan sawah padi di Kampung Solibok, Tambunan sebagai projek rintis pertanian padi berhasil tinggi yang dilaksanakan secara moden dengan penggunaan automasi, mekanisasi serta pengurusan air berjadual,” katanya.
Menjawab soalan tambahan ADUN Kemabong mengenai kurangnya pasaran bagi durian Musang King, Black Thorn dan avokado, Hendrus mengesahkan bahawa tanaman bernilai tinggi seperti itu sememangnya popular dan sedang diberi tumpuan oleh kementerian.
“Setakat ini, pasaran untuk durian di Sabah masih terbuka luas. Kementerian melalui Jabatan Pertanian turut berjaya menghasilkan varieti tempatan seperti Durian Merah QDG-1, Durian Sabah Big Tone QDZ-1, Avokado QAV-3, Tarap QTRP-1, Nenas HVS QHD-1 serta tanaman hutan Tuhau LHDU-1,” katanya.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan pengeluaran benih varieti tersebut masih agak terhad, dan pihak kementerian akan meneliti semula isu pasaran sekiranya berlaku kekurangan permintaan.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan ADUN Usukan yang adakah kerajaan mempunyai cadangan menubuhkan bank benih padi Sabah, Hendrus berkata pada masa ini Sabah mempunyai satu varieti benih hasil tinggi iaitu DR8 yang digalakkan untuk penanaman secara individu atau skala besar.
“Kerajaan melalui Jabatan Pertanian akan sentiasa membuat perancangan untuk mengekalkan dan memperluas pengeluaran benih bermutu termasuk DR8 dari pada masa akan datang,” katanya.



