KUALA PENYU : Seramai 68 peserta sekitar daerah ini dan beberapa daerah lain menyertai Mini Games Merdeka 2025 yang berlangsung di Lapang Sasar Fath Han Al Fateh di sini pada Isnin.
Program anjuran Kelab Memanah Fath Han Al Fateh di Kampung Kepayan Pekan Kuala Penyu itu dirasmikan Penasihat Persatuan kebajikan Sahabat Dakwah Sabah Joumat Bisnin.
Hadir sama Presiden Kelab Memanah Az Zuhri, Yahya Muncin, serta Presiden Kelab Memanah Fath Han Al Fateh, M Fazree Ag Fadillah.
Antara peserta jemputan yang turut memeriahkan acara ialah MYKP Farmasi Syafiq Halimi dan Penolong Pengarah Unit Pustakawan UMS Sabah Sazali Salleh.
Pertandingan itu melibatkan empat kategori tradisional, antaranya Beginner A (15m), Beginner B (10m – tertutup Kg Kepayan Pekan), Novice (20m) dan Expert (33m) dengan hadiah berupa hamper, saguhati dan 30 hadiah tambahan bagi fun shoot.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Pengerusi Sekretariat Pendidikan Maara Parlimen Beaufort Mohd Ak Yazri Ak Yahya.
Ak Yazri berkata, objektif utama penganjuran adalah untuk mengukuhkan silaturrahim, memupuk nilai kekeluargaan dan melahirkan lebih ramai pemanah tradisional di peringkat akar umbi.
“Saya berharap menerusi penganjuran program ini akan lebih ramai pengiat sukan memanah khususnya tradisional dapat digilap seterusnya dapat mewakili daerah ke peringkat lebih tinggi,” katanya.



