PRN SABAH
HomeUtamaKebocoran maklumat ganggu emosi saksi kanak-kanak, prosiding inkues ditunda

Kebocoran maklumat ganggu emosi saksi kanak-kanak, prosiding inkues ditunda

Read Time:1 Minute, 54 Second

Oleh J. Evachel John

((KEMASKINI)) KOTA KINABALU: Prosiding inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir ditangguhkan susulan kebocoran maklumat melibatkan saksi kanak-kanak.

Koroner Amir Shah Amir Hassan meluahkan kekecewaannya terhadap insiden itu kerana ia menjejaskan perjalanan prosiding yang telah memasuki hari ke-10.

“Saya amat kecewa tetapi tiada pilihan. Jadi, kita akan sambung pada Isnin,” katanya.

Tegasnya, setiap kebocoran atau gangguan pasti akan menjejaskan prosiding inkues.

“Saya rasa ini juga satu peringatan yang perlu saya berikan kepada orang awam, apabila berlaku kebocoran atau gangguan, ia pasti menjejaskan prosiding inkues.

“Inilah yang berlaku hari ini. Sekarang, saksi-saksi berasa terintimidasi akibat tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu. Saya tidak tahu siapa…,” katanya.

Prosiding pada Isnin nanti akan dijalankan secara tertutup dengan saksi kanak-kanak berada di bilik saksi.

Bagi prosiding in camera, selaras dengan Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak, saksi akan ditempatkan di bilik saksi bersama seorang jurubahasa dan seorang pendamping pilihan mereka.
“Namun pendamping itu tidak boleh terdiri daripada mana-mana saksi berpotensi. Jika dia merupakan saksi, maka orang lain perlu dilantik, sebaik-baiknya ahli keluarga terdekat. Kedudukan tempat duduk akan menempatkan kanak-kanak di hadapan kamera manakala pendamping berada di belakang tetapi masih kelihatan dalam kamera,” kata Koroner.

Inkues Zara sepatutnya diteruskan pada petang ini dengan saksi kanak-kanak selepas ketua warden Azhari Abd Sagap selesai memberi keterangan.

Bagaimanapun Datuk Ram Singh yang mewakili saksi kanak-kanak dikenali sebagai Pelajar A, memaklumkan maklumat melibatkan saksi kanak-kanak telah tular sebelum dibentangkan di Mahkamah Koroner.

Dalam sidang media, Ram berkata pihaknya kecewa kerana selepas segala persiapan dibuat namun insiden itu telah menyebabkan emosi saksi kanak-kanak terganggu dan saksi berkenaan juga menangis.

Menurut Ram terdapat keterangan saksi kanak-kanak yang tular di WhatsApp. Mereka juga menerima maklumat mengenai butiran pelajar yang dimuat naik di TikTok.

“Itu tidak sepatutnya berlaku. Bagi saya, itu adalah satu bentuk intimidasi. Pegawai pengendali prosiding juga telah dimaklumkan mengenai perkara ini.

“Saya simpati dengan ibu bapa kanak-kanak itu kerana mereka terpaksa melalui pengalaman ini,” katanya.

Ketika ditanya mengenai Kesan kebocoran maklumat itu, Ram berkata pihaknya menggunakan kenyataan saksi sedia ada dan menegaskan pegawai pengendali berpengalaman luas dan tahu apa yang perlu dilakukan.

“Kami akan cuba sedaya upaya mematuhi Akta Keterangan Kanak-Kanak,” katanya.

Ditanya mengenai bagaimana dokumen itu boleh bocor, Ram berkata beliau tidak mengetahui puncanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Projek tebatan banjir Tenom diteruskan – Jamawi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular