PRN SABAH
HomeUtamaPeruntukan badan keagamaan bukan Islam di Sabah ditingkatkan kepada RM90 juta

Peruntukan badan keagamaan bukan Islam di Sabah ditingkatkan kepada RM90 juta

Read Time:1 Minute, 56 Second

RANAU: Kerajaan negeri di bawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan meningkatkan peruntukan kepada semua badan keagamaan bukan Islam dan institusi pendidikan persendirian di Sabah daripada RM70 juta kepada RM90 juta tahun hadapan.

Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, peningkatan sebanyak RM20 juta yang diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor itu adalah sebahagian daripada inisiatif di bawah pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk kesejahteraan rakyat.

“Semua rakyat Sabah tanpa mengira agama berhak menerima bantuan ini kerana ia adalah duit Sabah. Sama ada Islam atau Kristian, semuanya mendapat bantuan secara adil. Kadang-kala ada yang menerima lebih sedikit bergantung kepada keperluan pada tahun tersebut,” katanya.

Masidi berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Rumah Staf Borneo Natural Farm (BNF) yang disempurnakan Presiden SIB Sabah, Datuk Ir Jerry Dusing, di sini pada Sabtu.

Menurutnya, kerajaan sentiasa memberikan sokongan kepada semua institusi keagamaan dengan pendekatan yang seimbang.

“Ranau sendiri terkenal dengan toleransi agama yang tinggi dan tidak hairanlah daerah ini berada di tangga keenam dalam indeks kebahagiaan Malaysia.

“Dalam keluarga kita, ada pelbagai latar belakang agama, tetapi perbezaan itu tidak menjadi penghalang untuk hidup rukun kerana kita percaya kepada Tuhan yang sama,” ujarnya.

Beliau menegaskan krisis perbezaan agama di dunia wujud kerana manusia lebih banyak membicarakan perbezaan berbanding meraikan persamaan.

“Jika kita fokus pada persamaan dan keharmonian, walaupun dalam keadaan kekurangan, semua akan tetap merasakan kecukupan,” katanya.

Dalam ucapannya, Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karanaan turut memuji usaha SIB membangunkan Borneo Natural Farm, yang sebahagian besar aktivitinya berteraskan pertanian semula jadi.

Masidi (dua kiri) menanam pokok di Ladang BNF sempena perasmian majlis itu.

Beliau menyarankan agar pengusaha ladang dan masyarakat menanam pokok avocado kerana permintaannya tinggi dengan pulangan lumayan.

“Semoga pembinaan rumah staf ini berjalan lancar dan dapat dimanfaatkan sepenuhnya apabila siap kelak,” tambahnya.

BNF mengaplikasikan teknik Pertanian Semula Jadi (Natural Farming) yang diperoleh daripada Korea Selatan, selain menimba pengalaman dari Filipina, Taiwan dan Thailand. Amalan tradisi petani tempatan turut dijadikan asas bagi memperkukuhkan keberkesanan konsep tersebut.

Pertanian semula jadi itu menekankan interaksi tumbuhan, haiwan dan mikroorganisma secara harmoni sehingga menghasilkan produk ternakan dan tanaman yang sihat, bebas pencemaran serta berkualiti tinggi.

Hadir sama, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir; Adun Lantikan, Datuk Amisah Yassin; Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen, Benedict Gunda; pimpinan Gereja SIB dan tetamu lain.

RELATED ARTICLES
Utama

Program Pembersihan Pantai Tahunan Ke-11 teguhkan komitmen FOSTER terhadap pemuliharaan penyu...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular