KOTA KINABALU: Sabah berpotensi muncul sebagai hab latihan kefatwaan serantau meliputi Malaysia, Brunei, Indonesia dan negara jiran lain menerusi kerjasama strategik dengan institusi keagamaan di Mesir.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, perbincangan bersama pihak terlibat termasuk Darul Ifta’ Mesir dan Universiti Al-Azhar kini giat dilaksanakan.
Katanya, ia bagi membolehkan pelajar Sabah mengikuti kursus khas semasa cuti semester, selain mendapat sijil pengiktirafan daripada institusi berkenaan.
“Ini keistimewaan buat anak-anak Sabah kerana hanya mereka diberikan peluang untuk mengikuti kursus di Darul Ifta’.
“Kita mahu manfaatkan ruang ini dengan lebih meluas agar Sabah menjadi pusat keilmuan Islam yang berwibawa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis amanat dan meraikan pelajar-pelajar Sabah yang melanjutkan pengajian di Universiti Al Azhar dan Shoubra Mesir di sini pada Ahad.

Arifin yang juga Exco Agama dan Pendidikan berkata, Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Darul Ifta’ dan Universiti Al-Azhar bakal dimeterai tidak lama lagi bagi merangka pelbagai bentuk kerjasama termasuk latihan bahasa Arab, bimbingan akademik serta peluang sambungan pengajian dalam bidang khusus.
Katanya lagi, kerjasama tersebut diyakini dapat memperkukuh peranan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dalam melahirkan generasi ilmuwan Islam yang mampu menyumbang kepakaran fatwa kepada negeri dan rantau ini.
“Dengan adanya hab latihan kefatwaan di Sabah, kita berharap ia dapat menarik minat pelajar dari dalam dan luar negara, sekaligus mengangkat nama negeri sebagai pusat rujukan ilmu Islam,” katanya.
Dalam pada itu, Arifin berkata, MUIS merancang untuk memperkenalkan semula peluang pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Al-Azhar, Mesir khusus untuk anak-anak Sabah.
Katanya, pihaknya kini sedang meneliti kerjasama dengan kedutaan serta Kementerian Pengajian Tinggi bagi mengenal pasti institusi dan bidang pengajian perubatan yang sesuai serta diiktiraf.
“Selain bidang agama, kita mahu anak-anak Sabah juga diberi peluang melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan, farmasi dan pergigian.
“Bidang ini amat berpotensi besar untuk negeri Sabah dan kita akan gerakkan semula usaha ini seperti yang pernah dilakukan sebelum ini,” katanya. – SABAH MEDIA



