KOTA KINABALU : Sabah Fest Extravaganza 2025 sekali lagi menyerlahkan pesonanya sebagai pentas kebudayaan terbesar negeri dengan mempamerkan keindahan dan keunikan warisan etnik Sabah melalui persembahan penuh warna-warni.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew berkata, Sabah Fest bukan sekadar sebuah acara hiburan, sebaliknya menjadi medan mempersembahkan kekayaan tradisi yang diwarisi sejak turun-temurun.
“Setiap tahun kita berusaha menampilkan ciri baharu yang istimewa agar festival ini terus hidup dan segar, sekali gus menonjolkan keindahan budaya Sabah yang mempesona,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan majlis kemuncak Sabah Fest di Dataran Terbuka, Sabah International Convention Centre (SICC), di sini pada Sabtu.
Menurut Christina, masyarakat diajak untuk sama-sama menghargai dan mempromosikan warisan budaya negeri melalui rakaman gambar, video dan perkongsian di media sosial.
“Mempromosikan Sabah bukan hanya tugas kerajaan atau segelintir pihak, sebaliknya usaha bersama kita semua.
“Memelihara warisan ini adalah tanggungjawab kolektif,” katanya..
Festival yang berlangsung sepanjang empat minggu itu menampilkan pelbagai persembahan tarian etnik dari seluruh Sabah yang disusun oleh Lembaga Kebudayaan Sabah. – SABAH MEDIA



