KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menzahirkan penghargaan kepada syarikat-syarikat korporat, GLC dan NGO’s yang tampil membantu mangsa bencana di Sabah.
Katanya, ini termasuklah PETRONAS dan Yayasan PETRONAS yang menyalurkan bantuan bernilai RM980,000 pada tahun ini.
Menurutnya, sumbangan itu bukan sahaja meringankan beban mangsa banjir, malah membuktikan keprihatinan sektor swasta dalam berkongsi tanggungjawab bersama Kerajaan Negeri menjaga kebajikan rakyat.
“Kerajaan Negeri amat menghargai sumbangan PETRONAS dan Yayasan PETRONAS. Usaha ini memperlihatkan komitmen tinggi syarikat tenaga negara dalam memastikan kesejahteraan rakyat Sabah terus terbela, terutama ketika menghadapi bencana banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyaksikan penyerahan Sumbangan Bantuan Bencana daripada PETRONAS di Menara Kinabalu, di sini pada Rabu.
Sumbangan itu termasuk bekalan asas dan pelbagai yang disampaikan hari ini oleh Pengurus Besar Pejabat Wilayah PETRONAS Sabah dan Labuan, Siti Ayu Abdul Wahab kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.
Sumbangan terbaharu itu adalah sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh yang akan datang.
Sementara itu, Siti Ayu berkata, inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada komitmen berterusan PETRONAS dalam menyokong kesiapsiagaan dan bantuan bencana di Sabah.
“Melalui kerjasama erat dengan agensi negeri dan persekutuan, kami mahu memastikan bantuan sampai tepat pada masanya apabila diperlukan.
“Inisiatif ini juga dirancang secara proaktif setiap tahun bagi menyokong usaha kesiapsiagaan menghadapi musim banjir,” katanya.
Menurutnya, PETRONAS turut menyumbang peralatan, termasuk tilam lipat, kanopi, kipas dan bekalan air minuman.
Turut diserahkan ialah bekalan makanan paket kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta kad sumbangan bernilai RM10,000 untuk pembelian bahan api bagi operasi bantuan.
Siti Ayu berkata, setakat ini PETRONAS dan Yayasan PETRONAS telah menyalurkan sebanyak RM980,000 bagi menyokong kesiapsiagaan serta bantuan pasca bencana di Sabah, termasuk sumbangan yang telah diberikan awal tahun ini.
Terdahulu, Hajiji menegaskan, sokongan sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO’s) amat penting dalam melengkapi usaha kerajaan, sekali gus mempercepatkan pemulihan mangsa bencana.
“Kerajaan Negeri berharap lebih banyak syarikat korporat tampil membantu. Dengan adanya sokongan padu seperti ini, kita dapat memastikan bantuan sampai segera dan berkesan kepada rakyat yang memerlukan,” katanya.



