PRN SABAH
HomeUtamaSPP tempatkan 1,000 guru baharu di sekolah Sabah 

SPP tempatkan 1,000 guru baharu di sekolah Sabah 

Read Time:1 Minute, 49 Second

KOTA KINABALU: Seramai 1,000 guru baharu ditempatkan di sekolah-sekolah di negeri ini sepanjang tahun 2025 yang melibatkan 315 guru sekolah rendah dan 685 guru sekolah menengah.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) Datuk Adzman Talib berkata, penempatan itu adalah sebahagian daripada keperluan 21,348 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) tahun ini di seluruh negara, seperti ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). 

“Sehingga 30 Jun 2025, kadar pengisian jawatan guru di Sabah mencapai 97.78 peratus, dengan 44,058 guru telah ditempatkan berbanding 45,057 jawatan yang diluluskan di 1,298 sekolah bawah KPM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi taklimat kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, semasa kunjungan hormat di Menara Kinabalu, di sini pada Rabu. 

Adzman berkata, meskipun kadar pengisian hampir penuh, sekolah-sekolah di Sabah masih berdepan kekurangan guru dan usaha berterusan sedang dijalankan bagi mengatasi jurang ini.  

Katanya, antara cabaran utama yang dihadapi dalam perkhidmatan pendidikan ialah peningkatan jumlah guru memilih untuk bersara awal. 

“Pada 2024, seramai 12,607 guru di seluruh negara bersara awal berbanding 13,192 orang pada 2023. Di Sabah sahaja, sebanyak 947 kes dicatatkan pada 2024 berbanding 813 pada tahun sebelumnya,” katanya. 

Beliau menambah, faktor beban tugas pentadbiran dan tuntutan digitalisasi yang bertindih dikenal pasti antara punca guru meninggalkan profesion lebih awal. 

“SPP sedang bekerjasama dengan KPM bagi meneliti penyelesaian menyeluruh untuk memastikan kelestarian tenaga pengajar di sekolah,” katanya. 

Adzman turut memuji usaha Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Hajiji dalam mempertingkatkan kecemerlangan pendidikan melalui pelbagai inisiatif serta sokongan kepada sekolah dan pelajar di Sabah 

Sementara itu, Hajiji menzahirkan penghargaan terhadap peranan SPP dalam memastikan pelantikan guru yang berwibawa bagi memenuhi keperluan pendidikan negara.    

Kunjungan hormat itu turut dihadiri oleh  Anggota SPP dari Sabah, Datuk Dr Nuinda Alias; Setiausaha SPP, Md Radzi Hassim; serta Setiausaha Bahagian, Urusetia Cawangan Sabah, Intan Zainab Mohd Bustan. 

Dalam program berasingan, Ketua Menteri diberi demonstrasi inovasi pendidikan digital berasaskan kecerdasan buatan (AI) oleh Albert Yek, pengarah syarikat tempatan Samasama Works Sdn Bhd.

Albert berkata kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Sabah itu bertujuan memperkenalkan alat pembelajaran digital berkuasa AI ke sekolah-sekolah di seluruh negeri, dengan 100 unit awal akan diedarkan.

RELATED ARTICLES
Utama

Jenazah Bung Moktar selamat dikebumikan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular