Oleh Ahmad Husnayan
TAWAU: Seorang kontraktor berusia 40 tahun parah selepas ditetak seorang lelaki dalam kejadian di Kampung Autentik, Tanjung Batu Laut, di sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, dalam kejadian jam 1.10 tengah hari itu, mangsa ditetak di belakang rumah mertuanya sebelum dihantar ke zon merah Hospital Tawau untuk rawatan kecemasan.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati suspek berusia 30 tahun itu berjaya ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di hadapan Unit Kecemasan hospital sama, semalam.
“Suspek yang bekerja sebagai buruh didapati mempunyai tiga rekod lampau membabitkan kes pecah rumah, kesalahan seksual dan dadah.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata serta Seksyen 323 kanun sama,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, Jasmin menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak mengikut emosi sehingga mencederakan orang lain kerana perbuatan itu bukan sahaja mengundang bahaya, malah boleh membawa hukuman berat.
“Jika berdepan sebarang masalah atau perselisihan faham, rujuk saluran yang betul dan jangan sesekali mengambil tindakan sendiri,” tegasnya.



