Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 30 hari oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah membuat penghantaran komunikasi yang mengancam dengan niat mengganggu orang lain melalui aplikasi TikTok.
Attad Alamin, 45, juga dikenakan denda RM10, 000 atau empat bulan penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Ketika menjatuhkan hukuman, hakim Amir Shah Amir Hassan Amir antara lain berkata penyalahgunaan media sosial seperti penyebaran berita palsu semakin berleluasa dan hal ini boleh mencetuskan kekacauan dalam masyarakat.
Amir turut menasihati tertuduh agar tidak mengambil kesempatan dengan isu-isu sensitif atau menunggang mana-mana isu yang tidak memberi faedah kepada masyarakat.
“Sebelum menekan butang ‘enter’, kamu seharusnya memikirkan akibat ‘posting’ yang kamu buat di media sosial. Kamu sendiri yang akan bertanggungjawab atas perbuatan kamu.
“Gunakan media sosial untuk perkara bermanfaat dan memberi kebaikan kepada orang lain, bukannya menyebarkan kebencian,” katanya.
Berdasarkan pertuduhan, Attad secara sedar menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman profi Tiktok ‘bentalamin25’ telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang mengancam dengan niat untuk mengganggu orang lain. Hantaran itu dibaca oleh Datu Hishamuddin Datu Hasim pada 5 April 2024, jam lebih kurang 5 petang sebuah rumah di Papar.
Attad didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah seksyen 233(3) Akta yang sama.
Mengikut fakta kes, pengadu ternampak hantaran berkaitan cabinet GRS dan PH tersebut ketika melayari TikTok dan merasakan bahawa hantaran tersebut adalah kandungan yang boleh menyebabkan gangguan, kebencian serta boleh menjejaskan ketenteraman awam. Laporan polis dibuat pada 6 April 2024.
Susulan laporan itu, Attad ditahan pada 16 April kira-kira jam 2.40 petang. Polis turut merampas telefon bimbitnya, dan hasil analisis di Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras mengesahkan akaun TikTok @bentalamin25 terdapat dalam peranti tersebut.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara Attad bermula 12 September 2024, iaitu tarikh dia ditangkap semula selepas waran tangkap dikeluarkan pada 23 Mei 2024. Para penjamin Attad juga dibenarkan menarik diri daripada menjadi penjaminnya dan wang jaminan dikembalikan kepada mereka.
Sebelum ini, pada 15 Ogos 2024, Attad mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin RM3,000 dengan dua penjamin tempatan.
Dalam rayuan, Attad yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan dengan alasan dia miskin, isterinya tidak bekerja, mempunyai enam anak yang perlu ditanggung serta menghadapi masalah kesihatan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Dacia Jane Romanus memohon hukuman berat dengan mengambil kira keseriusan serta kekerapan kes seumpama ini, yang melibatkan penyalahgunaan media sosial. Katanya, hukuman berat wajar diberikan sebagai pengajaran.



