KOTA KINABALU: Pengumuman penambahan 10 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula tahun hadapan membuktikan keprihatinan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terhadap rakyat, khususnya golongan muda yang masih bergelut dengan kos sara hidup dan kekangan tempat tinggal.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, inisiatif yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor itu akan menjadikan keseluruhan 50 unit Rumah Mesra SMJ bagi setiap DUN di seluruh Sabah.
Katanya, langkah berkenaan bukan sahaja memberi kelegaan kepada anak muda, malah menjadi simbol keberkesanan dasar SMJ yang benar-benar menyentuh kehidupan rakyat.
“Projek Rumah Mesra SMJ mencerminkan keberanian dan keikhlasan kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan perumahan rakyat dilaksanakan secara menyeluruh dan inklusif di semua kawasan, sama ada di bandar mahupun luar bandar.
“Pendekatan kerajaan negeri yang menggabungkan kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta juga merupakan langkah strategik yang mempercepatkan pembangunan serta membolehkan sumber kewangan negeri difokuskan kepada inisiatif sosioekonomi lain yang memberi manfaat langsung kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Hajiji telah membuktikan bahawa agenda Sabah Maju Jaya bukan sekadar slogan, tetapi satu pelan tindakan yang dilaksanakan secara konsisten dan berpaksikan keperluan sebenar rakyat.
“Rakyat Sabah, khususnya golongan muda, harus melihat inisiatif ini sebagai bukti jelas bahawa kerajaan GRS bekerja dengan ikhlas dan berfokus kepada kesejahteraan rakyat, bukan sekadar berpolitik atau menabur janji,” katanya.
Nizam yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri serta Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, dasar berorientasikan rakyat seperti ini wajar diteruskan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.



