KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, menzahirkan ucapan takziah kepada Datin Maimun Pg Bagul dan seluruh keluarga Allahyarham Datuk Karim Bujang yang kembali ke rahmatullah hari ini.
Hajiji berkata, Allahyarham merupakan antara pemimpin politik di Sabah yang telah banyak menyumbang bakti kepada negeri dan rakyat sepanjang penglibatannya dalam bidang politik.
Menurut beliau, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan selama lima penggal, iaitu dari 1990 hingga 2013.
“Salam takziah diucapkan kepada Datin Maimun Pg Bagul dan seluruh keluarga Allahyarham YBhg. Datuk Haji Karim Haji Bujang yang telah kembali ke rahmatullah hari ini.
“Allahyarham merupakan pemimpin politik di Sabah yang telah menyumbang bakti dan pernah berkhidmat sebagai ADUN Bongawan selama lima penggal dari tahun 1990 hingga 2013,” katanya.
Hajiji turut mendoakan agar seluruh ahli keluarga Allahyarham diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi kehilangan serta melalui saat sukar berikutan pemergian insan tersayang.
Beliau berkata, jasa dan sumbangan Allahyarham kepada masyarakat dan negeri Sabah akan terus dikenang.
“Semoga seluruh ahli keluarga Allahyarham dikurniakan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi rasa kehilangan dan saat yang sukar ini,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji mengajak semua pihak bersama-sama mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
“Marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya, mengampunkan dosa-dosa beliau dan menempatkan Allahyarham dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya. SABAH MEDIA



