SANDAKAN: Hanya sebuah kerajaan yang stabil mampu menjamin kemakmuran dan pembangunan berterusan untuk rakyat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin.
Beliau berkata, kestabilan politik menjadi asas kemajuan sesebuah negeri kerana pertukaran kerajaan secara kerap bukan sahaja menggugat kesinambungan dasar, malah boleh menyebabkan kontrak projek dibatalkan, sekali gus menjejaskan infrastruktur dan kesejahteraan rakyat.
“Jika kerajaan sedia ada gagal mempertahankan mandat, semua projek yang dirancang perlu dimulakan semula dan pembangunan tidak akan berjalan seperti dijadualkan. Akhirnya, rakyat juga yang menjadi mangsa,” katanya ketika berucap pada Majlis Pesta Kuih Bulan 2025 anjuran Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Karamunting di SK Sung Siew, semalam.
Hiew yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Karamunting turut mengimbas kembali landskap politik Sabah sejak 2018, apabila Barisan Nasional (BN) tumbang selepas sekian lama memerintah dan digantikan oleh Parti Warisan sebelum kerajaan itu pula tumbang pada 2020.
“Apabila Warisan tidak menyertai gabungan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dewan Undangan Negeri (DUN) terpaksa dibubarkan dan pilihan raya negeri diadakan semula. Selepas kegagalan percubaan ‘Langkah Kinabalu’, Datuk Seri Hajiji Noor kekal sebagai Ketua Menteri dan menerajui kerajaan negeri,” jelasnya.
Menurut beliau, sejarah telah membuktikan bahawa pertukaran kerajaan yang kerap hanya membawa kepada ketidakstabilan dan kemunduran.
“Tukar kerajaan tidak semestinya membawa perubahan. Pembangunan tidak akan berlaku seperti magis dalam tempoh setahun,” katanya.
Hiew turut mencontohkan Sarawak yang menikmati pertumbuhan pesat hasil pemerintahan stabil oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memerintah secara konsisten dan bekerjasama baik dengan Kerajaan Persekutuan.
“Dalam tempoh dua tahun sejak Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ditubuhkan, Sabah mendapat perhatian dan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan MADANI. Sama ada projek Lebuhraya Pan Borneo, kemasukan pelaburan asing atau pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur, semuanya hasil kestabilan politik,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi agar terus memberi mandat kepada kerajaan GRS dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-17 akan datang supaya momentum pembangunan dapat diteruskan dan ekonomi negeri terus digerakkan ke hadapan.
Menyentuh kawasan DUN Karamunting, Hiew berkata beliau kekal menjadikan khidmat kepada rakyat sebagai keutamaan sejak dipilih sebagai wakil rakyat pada 2018 walaupun pernah berada dalam blok pembangkang.
“Ketika menjadi pembangkang, mahu baiki satu lampu jalan pun sukar kerana berdepan pelbagai halangan. Kini selepas menyertai Gagasan Rakyat, semua agensi kerajaan boleh bekerjasama dan pembangunan dapat dilaksanakan secara berperingkat,” jelasnya.
Menurut beliau, hampir 1,000 unit lampu jalan solar telah dipasang di kawasan itu sejak beberapa tahun lalu dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan, Sabah Electricity, Jabatan Air, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan.
“Masih ada kekurangan yang perlu diperbaiki, tetapi saya berharap rakyat dapat memberi lebih masa dan kesabaran. Saya akan terus berusaha mendapatkan lebih banyak peruntukan pembangunan,” katanya.
Hiew turut mengalu-alukan mana-mana pihak termasuk penduduk luar kawasan untuk datang sendiri mendapatkan maklumat sebenar dan menyampaikan cadangan, bukannya menyebarkan kritikan atau salah faham dari luar.
“Politik tidak seharusnya menjadi medan untuk menabur fitnah bagi meraih simpati. Fokus saya sentiasa pada khidmat dan turun padang menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.



